'The Last Dive' tonjol keupayaan OKU, bawa mesej pemuliharaan marin

Filem The Last Dive dijangka menemui penonton di pawagam tempatan bersempena dengan Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa pada 3 Disember depan.
Filem The Last Dive dijangka menemui penonton di pawagam tempatan bersempena dengan Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa pada 3 Disember depan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Filem The Last Dive, yang dijangka menemui penonton di pawagam tempatan bersempena dengan Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa pada 3 Disember depan, membuktikan keterbatasan fizikal bukan penghalang bagi golongan berkenaan meneroka dunia bawah laut.

Penerbit eksekutifnya, Datin Dr Wendy Wong berkata, filem yang diilhamkan daripada kisah benar itu menampilkan lima individu OKU yang melakukan sendiri babak selaman di laut tanpa menggunakan kesan visual (VFX) bagi menggantikan latar atau aksi bawah air.

"Mereka ialah individu OKU sebenar yang membawa pengalaman hidup masing-masing ke dalam filem ini. Mereka tidak mahu dikasihani, sebaliknya hanya memerlukan peluang untuk menunjukkan kemampuan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Wendy berkata, idea menghasilkan filem itu tercetus selepas beliau bertemu seorang jurulatih selam di sebuah festival filem di Amerika Syarikat pada 2022 yang berkongsi kisah wanita berkerusi roda dan menghidap kanser tahap kritikal, namun mahu mencuba aktiviti menyelam sebelum meninggal dunia.

"Walaupun menghidap kanser tahap akhir dan berkerusi roda, wanita itu mahu mencuba sesuatu yang dianggap mustahil. Ketika menyelam, dia berasa gembira kerana dapat bergerak bebas di dalam air. Kata-katanya selaman itu mungkin yang terakhir buatnya memberikan ilham kepada judul filem ini,” katanya.

Menurut Wendy, kira-kira 90 peratus penggambaran dilakukan di Pulau Lang Tengah dan Pulau Bidong, Terengganu, dengan sokongan Universiti Malaysia Terengganu, selain semua pelakon serta kru yang terlibat dalam babak bawah air perlu menjalani latihan dan mendapatkan lesen menyelam.

Beliau berkata, filem itu turut memaparkan ancaman sampah terhadap ekosistem marin, termasuk ikan dan penyu yang terperangkap atau mati selepas menelan sisa buangan manusia.

"Filem ini bukan semata-mata hiburan kerana penonton akan memperoleh pengetahuan yang nilainya tidak boleh diukur hanya berdasarkan harga tiket. Kita mungkin tidak mampu melakukan perkara besar untuk menyelamatkan lautan, tetapi kita boleh bermula dengan tidak membuang sampah,” katanya.

Bagaimanapun, Wendy mengakui hampir berputus asa untuk meneruskan projek yang bermula dengan penyelidikan pada 2022 itu berikutan kekangan kewangan apabila dana yang diterima hanya mampu menampung sebahagian kecil daripada keseluruhan kos penerbitan.

Artikel Berkaitan:

"Setiap kali mahu berputus asa, saya teringat hidupan marin seperti penyu yang mati akibat terperangkap dalam sampah. Perkara itu menguatkan tekad saya untuk meneruskan projek ini bagi menyampaikan mesej mengenai alam sekitar,” katanya.

Belum pun ditayangkan di Malaysia, karya berkenaan terlebih dahulu dipertontonkan menerusi tayangan khas di Cannes, Perancis pada Mei lepas, diikuti tayangan di Beijing, China menerusi program anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada September lepas.

Filem itu turut dipertontonkan menerusi tayangan khas anjuran Kerajaan Negeri Selangor melalui Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS), yang turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin selaku Penaung Diraja YANIS bersama-sama dengan komuniti OKU, anak-anak istimewa dan keluarga mereka.

"Kami tidak menyangka sambutannya begitu baik apabila penonton bukan sahaja memuji keindahan visual bawah laut yang disifatkan setanding produksi Hollywood, malah menghargai kekuatan mesej pemuliharaan marin yang diketengahkan, sekali gus memberikan keyakinan bahawa karya Malaysia mampu diterima di pasaran antarabangsa,” katanya.

The Last Dive terbitan Produksi Seni Duapuluh-Duapuluh Sdn Bhd mengisahkan Faiz, bekas pemain bola sepak yang lumpuh akibat kemalangan langgar lari serta Amelia, jurulatih selam skuba yang membantu golongan OKU meneroka dunia bawah laut.

Konflik tercetus apabila pengemudi bot mereka bernama Kamal didapati terlibat dalam kegiatan pengeboman ikan dan pencurian batu karang, selain mempunyai kaitan dengan kemalangan yang mengubah kehidupan Faiz.

Filem itu dibintangi Shiqin Kamal, Aniq Durar, Fify Azmi, Amerul Affendi dan Sandra Lim, selain menampilkan kemunculan khas Datuk Dr Ras Adiba Mohd Radzi serta penyanyi Fauziah Latiff. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!