Tukang karut dan penyanyi dikir barat terkenal, Jen Endoro meninggal dunia

Jen Endoro meninggal dunia pada usia 66 tahun pada pagi Selasa.
Jen Endoro meninggal dunia pada usia 66 tahun pada pagi Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU – Dunia seni dikir barat Kelantan kehilangan seorang lagi tokoh tersohor apabila tukang karut dan penyanyi terkenal, Jen Endoro meninggal dunia pada usia 66 tahun pada pagi Selasa.

Allahyarham atau nama sebenarnya Mohammad Zain Ismail menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6 pagi di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), di sini akibat luka dalaman di bahagian perut.

Anak sulungnya, Nur Farahin Mohammad Zin, 33, berkata, bapanya dimasukkan ke hospital berkenaan sejak minggu lalu selepas keadaan kesihatannya merosot.

Menurutnya, Allahyarham sebelum ini terlantar akibat penyakit angin ahmar sejak lima tahun lalu.

"Ayah akan menyambut ulang tahun kelahirannya pada 26 November ini," katanya ketika dihubungi.

Perjalanan Jen Endoro dalam dunia dikir barat bermula sejak beliau berusia seawal 11 tahun dengan membawa alat muzik sebelum bergelar tok jogho dan akhirnya menjadi tukang karut terkenal.

Sepanjang kariernya, Jen Endoro telah menghasilkan 11 album dan sembilan cakera padat video dikir barat.

Antara lagu-lagu popular dinyanyikan beliau ialah Endoro, Mariani, Bakpo Tok Royak Demo Bini Ore dan banyak lagi.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang kariernya, Jen Endoro telah menghasilkan 11 album dan sembilan cakera padat video dikir barat.
Sepanjang kariernya, Jen Endoro telah menghasilkan 11 album dan sembilan cakera padat video dikir barat.

Antara pencapaiannya, beliau dinobatkan sebagai Tukang Karut Terbaik Peringkat Kebangsaan sempena Citrawarna tahun 2001.

Pada tahun 2022, beliau turut diiktiraf sebagai Ikon Legenda Dikir Barat ketika Malam Himpunan Dikir Barat di Kota Bharu, sebagai penghormatan rasmi Kerajaan Kelantan atas sumbangannya dalam memartabatkan seni warisan Kelantan.

Lebih membanggakan, beliau pernah membuat persembahan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri serta pembesar dari luar negara.

Pada tahun 2022, beliau turut diiktiraf sebagai Ikon Legenda Dikir Barat ketika Malam Himpunan Dikir Barat di Kota Bharu
Pada tahun 2022, beliau turut diiktiraf sebagai Ikon Legenda Dikir Barat ketika Malam Himpunan Dikir Barat di Kota Bharu

Jen Endoro meninggalkan lima orang anak dan isterinya yang turut menghidap angin ahmar pula meninggal dunia pada Mei lalu.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Guru, Pulau Melaka, di sini selepas solat Zuhur.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!