Masterclass K-Phenomenon buka jalan karya tempatan ke dunia

Masterclass K-Phenomenon: How Korea Captivated the World yang akan berlangsung di Studio F, Karangkraf pada 25 September 2026.
Masterclass K-Phenomenon: How Korea Captivated the World yang akan berlangsung di Studio F, Karangkraf pada 25 September 2026.
A
A
A

SHAH ALAM - Karya tempatan mempunyai potensi untuk menembusi pasaran antarabangsa, namun penggiat kreatif perlu mengetahui cara mengangkat kekuatan cerita Malaysia supaya mampu diterima khalayak dunia.

Persoalan itu bakal diteroka menerusi Masterclass K-Phenomenon: How Korea Captivated the World yang akan berlangsung di Studio F, Karangkraf pada 25 September 2026.

Pengurus Penerbitan, Azzah Abdul Rahman berkata, Malaysia tidak pernah ketandusan cerita, malah khazanah itu sentiasa ada dalam setiap sisi kehidupan di bandar dan desa, kepelbagaian bahasa, sejarah masyarakat serta tradisi keluarga.

Azzah
Azzah

Bagaimanapun, kata beliau, cabaran lebih besar adalah mengolahnya menjadi harta intelek dapat difahami dan dihargai oleh khalayak antarabangsa tanpa menghilangkan identiti tempatan.

"Korea tidak membina pengaruh global dengan menyembunyikan identitinya. Filem, drama, muzik, webtoon dan format hiburannya kekal sarat dengan budaya tempatan, namun mengangkat emosi serta konflik yang dekat dengan penonton dari pelbagai negara.

"Dalam masterclass ini, kita akan meneliti perkara yang boleh dipelajari daripada perjalanan industri kreatif Korea. Matlamatnya bukan menjadikan Malaysia sebagai “Korea seterusnya”, tetapi membantu penggiat tempatan mengenal pasti keunikan yang hanya mampu ditawarkan oleh negara ini kepada dunia," katanya.

Masterclass K-Phenomenon: How Korea Captivated the World akan dikendalikan veteran dan pakar kandungan global, Dr Kenny Bae Kihyung yang mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam bidang penyiaran.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang kerjayanya bersama Korean Broadcasting System (KBS), beliau terbabit dalam penerbitan dokumentari, hiburan, hubungan antarabangsa dan penerbitan bersama di peringkat global.

Beliau juga pernah berkhidmat dengan Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU) di Kuala Lumpur dan terlibat dalam pelbagai program industri antarabangsa mempunyai kepakaran dalam strategi kandungan global, penerbitan bersama antarabangsa, platform OTT, pembentangan dokumentari dan pembangunan harta intelek (IP).

Azzah menambah, kejayaan Korea membina pengaruh global menerusi drama, filem, muzik dan kandungan digital membuktikan identiti budaya tidak semestinya menjadi penghalang kepada sesebuah karya untuk diterima di luar negara.

“Ini bukan semata-mata tentang Korea. Ini adalah undangan kepada penggiat kreatif Malaysia untuk menemukan cara agar cerita mereka mampu menyentuh hati khalayak dari seluruh dunia,” ujarnya.

Peserta juga berpeluang meneroka cerita merentasi budaya, konsep, watak dan IP tempatan menerusi sesi interaktif bagi melihat potensi karya berkenaan diposisikan kepada khalayak lebih luas.

Masterclass berbahasa Inggeris itu berlangsung dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan merangkumi pembentangan, kajian kes, latihan interaktif serta sesi soal jawab.

Program itu terbuka kepada penerbit, pengarah, penulis skrip, novelis, penerbit buku, editor, pencipta kandungan, pembikin filem, pembangun IP, eksekutif kreatif dan profesional pemasaran.

Tempat adalah terhad dan pendaftaran boleh dibuat menerusi festivalnovelmalaysia.onpay.my.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!