Anwar puji kemajuan China, gesa AI berteraskan etika

Anwar (kiri) bersama Perdana Menteri China, Li Qiang di Mingyuan Hall, Rumah Tetamu Negara West Lake (Xihu). Foto Bernama
Anwar (kiri) bersama Perdana Menteri China, Li Qiang di Mingyuan Hall, Rumah Tetamu Negara West Lake (Xihu). Foto Bernama
A
A
A

HANGZHOU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pendekatan berteraskan etika terhadap kecerdasan buatan (AI) dan rejim perdagangan digital yang lebih terbuka serta berasaskan peraturan untuk memastikan negara-negara membangun turut meraih manfaat daripada kemajuan teknologi.

Berucap pada majlis perasmian Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) Kelima di sini, beliau mengiktiraf kemajuan China dalam bidang visualisasi dan AI serta peranannya dalam berkongsi kemajuan teknologi dengan negara-negara Selatan Global.

"Inilah yang pada pandangan saya amat luar biasa mengenai kepimpinan China dan kesediaan mereka untuk terus memberikan makna serta erti sebenar kepada globalisasi,” kata beliau.

Ekspo selama lima hari yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Besar Hangzhou dirasmikan oleh Perdana Menteri Li Qiang merupakan antara platform ekonomi digital utama China yang mengetengahkan AI serta kerjasama global.

Anwar melancarkan terjemahan bahasa Mandarin bagi buku terbaharunya, Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times sempena lawatan kerja selama tiga hari Perdana Menteri ke Shanghai dan Hangzhou.
Anwar melancarkan terjemahan bahasa Mandarin bagi buku terbaharunya, Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times sempena lawatan kerja selama tiga hari Perdana Menteri ke Shanghai dan Hangzhou.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, matlamat Malaysia dalam bidang AI adalah jelas, iaitu meningkatkan produktiviti, membantu syarikat kecil bersaing dan membawa industri ke arah aktiviti bernilai tinggi selain memastikan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada perubahan teknologi berbanding hanya menerima impaknya.

"Prinsipnya kekal, sama ada kita mengawal selia AI atau AI mengawal kita,” kata beliau, sambil menggesa rangka kerja berasaskan etika diwujudkan supaya inovasi dan kemajuan teknologi dapat memberi manfaat kepada manusia.

Beliau berkata, ini merupakan isu asas yang menyentuh masalah berulang berkaitan jurang digital terutamanya ketika negara mengejar kemajuan teknologi yang pesat dalam keadaan ketidaksamaan sosioekonomi yang berterusan.

Artikel Berkaitan:

"Pertumbuhan pesat AI, misalnya, mungkin menjadi aspirasi kebanyakan negara tetapi apakah manfaat sebenar yang akan diperoleh manusia jika perkembangan sedemikian hanya melebarkan jurang antara negara kaya dan negara sedang membangun, ekonomi maju serta ekonomi sedang membangun?

"Ini bukan ketakutan yang direka atau dibesar-besarkan, sebaliknya kebimbangan mendalam terhadap kesejahteraan wilayah, negara dan komuniti.

"Persoalannya ialah sama ada teknologi ini akan memberikan negara-negara membangun lebih banyak ruang untuk menentukan masa depan mereka sendiri atau membiarkan mereka bergantung pada teknologi yang dibangunkan di tempat lain,” kata beliau.

Anwar berkata, kemajuan ekonomi sebenar tidak dapat dicapai secara berasingan manakala pengembangan teknologi yang mampan tidak dapat kekal tanpa mengambil kira jurang teknologi.

Lawatan kerja selama tiga hari Perdana Menteri ke Shanghai dan Hangzhou berakhir hari ini.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah US$113.82 bilion (RM456.68 bilion) untuk tempoh Januari hingga Ogos tahun ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!