Anggota Maritim maut: Siasatan diteruskan, buru hingga ke akar umbi

Dua lelaki warga Thailand didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan membunuh seorang anggota Maritim Malaysia, hujung bulan lepas. Foto Bernama
Dua lelaki warga Thailand didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan membunuh seorang anggota Maritim Malaysia, hujung bulan lepas. Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Siasatan berhubung kematian anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan yang maut dalam insiden pelanggaran bot di perairan Perlis, tidak akan terhenti setakat pendakwaan dua lelaki warga Thailand.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Mohd Zawawi Abdullah berkata, sebaliknya mereka akan meneruskan siasatan bagi mengesan pihak lain yang mungkin terbabit dalam kejadian itu, termasuk menelusuri kegiatan berkenaan sehingga ke akar umbi.

Menurut beliau, kedua-dua lelaki warga Thailand yang ditahan ketika kejadian masing-masing berperanan sebagai tekong bot dan pembantu di atas bot berkenaan.

"Kedua-dua individu itu kini berdepan tindakan pendakwaan susulan penglibatan mereka dalam insiden berkenaan.

"Bagaimanapun, siasatan tidak akan terhenti setakat ini dan akan diteruskan sehingga ke akar umbi.

"Kita akan pastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh," katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan Penutupan Operasi Redback 23/2026 di sini pada Khamis.

Sebelum itu media melaporkan dua lelaki warga Thailand didakwa di Mahkamah Majistret Kangar pada Khamis atas pertuduhan membunuh seorang anggota Maritim Malaysia hujung bulan lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Pradit Rimat, 22, dan Rotchahan Tehpuyu, 21, selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Thailand oleh jurubahasa di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor, memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama membunuh Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Padang di sini antara 11 malam 26 Oktober hingga 1.30 pagi 27 Oktober lepas.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!