Pecut lari sekatan jalan raya, BMW terbabas rempuh tangki air

LIPIS - Cubaan seorang lelaki untuk meloloskan diri daripada pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) berakhir dengan kemalangan apabila kereta BMW yang dipandunya terbabas sebelum merempuh tangki air di Kilometer 23, Jalan Lipis-Merapoh, berhampiran Padang Tengku di sini pada petang Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, lelaki berusia 45 tahun berkenaan dipercayai membawa lima warga Myanmar dari Kelantan menuju ke Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, siasatan awal mendapati pemandu terbabit bertindak memecut laju selepas enggan berhenti di sekatan jalan raya.
“Kira-kira lima kilometer dari lokasi sekatan, kereta itu terbabas sebelum merempuh tangki air di hadapan sebuah kedai makan di tepi jalan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu bersama dua penumpang wanita warga Myanmar mengalami kecederaan dan berjaya ditahan polis,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, tiga lagi penumpang warga Myanmar yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita sempat melarikan diri selepas kejadian dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati dua wanita warga Myanmar yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau keberadaan tiga warga Myanmar yang masih diburu diminta tampil membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

