Penjara Kajang lengang, tiada pergerakan bawa Najib keluar

KAJANG - Keadaan di sekitar pintu masuk Penjara Kajang pada Sabtu masih lenggang tanpa sebarang pergerakan yang menunjukkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dibawa keluar ke kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur.
Tinjauan mendapati, keadaan di kawasan berkenaan masih tenang dengan kenderaan awam dan persendirian dilihat keluar masuk seperti biasa.
Setakat ini, belum kelihatan sebarang pergerakan atau persiapan berkaitan kemungkinan Najib dibawa keluar dari penjara susulan perkembangan pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman menerusi kaedah tahanan di rumah.
Pengamal media mula berkumpul di sekitar Penjara Kajang sejak jam 11.30 pagi bagi mengikuti sebarang perkembangan lanjut berhubung perkara itu.
Terdahulu, peguam Najib mengesahkan bekas Perdana Menteri itu selesai melunaskan denda RM50 juta pada Jumaat sebagai sebahagian daripada syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Jumaat memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran perintah pengampunan bersyarat serta kesan Perintah Pelepasan (Order of Discharge).
ARTIKEL BERKAITAN:‘Keluarga tidak dimaklumkan’- Rosmah kata tidak tahu dua wakil bayar denda RM50 juta Najib
Denda RM50 juta Najib: Pegawai khas, pemimpin UMNO muncul di kaunter bayaran mahkamah
Najib sudah bayar RM50 juta - Peguam
Dana sudah mencukupi, UMNO tutup Tabung Solidariti Najib
[VIDEO] Peguam ke Penjara Kajang serah perintah tahanan rumah Najib
Dua kenderaan Jabatan Penjara memasuki kediaman Najib
Kronologi keputusan tahanan rumah Najib
Anwar tidak setuju UMNO bayar denda RM50 juta bagi pihak Najib, rasuah tidak boleh dikompromi
AGC tangguh sementara pelaksanaan tahanan rumah Najib
Isu tahanan rumah Najib: Razlan dakwa wujud muslihat
Tangguh tahanan rumah Najib satu bentuk penderhakaan - Asyraf Wajdi
Terbaharu, Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa tidak sepatutnya timbul sebarang kekeliruan berhubung pelaksanaan perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah.
Seri Paduka Baginda turut menegaskan perintah berkenaan jelas, nyata dan tanpa sebarang kekaburan selain tidak berkaitan dengan mana-mana kes lain membabitkan bekas Perdana Menteri itu.
Baginda juga bertitah semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat berkenaan telah dipenuhi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
