Kementerian Pengangkutan jadi tumpuan susulan perkembangan Najib bayar denda RM50 juta

PUTRAJAYA - Pekarangan Kementerian Pengangkutan (MOT) menjadi tumpuan pengamal media bagi mendapatkan reaksi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke susulan perkembangan terbaharu membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melunaskan denda RM50 juta hari ini.
Kehadiran petugas media termasuk pemberita, jurugambar dan jurukamera sejak jam 1 tengah hari itu dipercayai bagi mendapatkan maklum balas Anthony berhubung kemungkinan beliau menggalas tugas terakhirnya sebagai menteri.
Setiausaha Agung DAP itu sebelum ini mengumumkan hasrat meletakkan jawatan berkuat kuasa apabila Najib mula menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.
Difahamkan, Anthony dijadual mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet di kementerian itu pada jam 3 petang ini.
Bagaimanapun, setakat ini pengamal media masih menunggu peluang untuk mendapatkan reaksi beliau berhubung perkembangan terbaharu kes berkenaan.
Anthony sebelum ini mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 29 September lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

