'Tiada manifesto, masalah Duyong keutamaan saya' - Helmy

Mohd Noor Helmy (kiri) beramah mesra dengan rakyat semasa bertemu pengundi di Semabok Dalam, Duyong.
Mohd Noor Helmy (kiri) beramah mesra dengan rakyat semasa bertemu pengundi di Semabok Dalam, Duyong.
A
A
A

KOTA MELAKA - Tiada manifesto khusus ditawarkan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, sebaliknya beliau melihat setiap masalah rakyat sebagai tanggungjawab yang perlu diberi perhatian dan diselesaikan.

Menurutnya, pendekatan itu berasaskan keyakinan bahawa keperluan serta permasalahan masyarakat tidak seharusnya dilihat sebagai janji pilihan raya semata-mata, sebaliknya menjadi tanggungjawab wakil rakyat.

“Kalau tanya manifesto, kita di Duyong tidak datang dengan manifesto sebab kita yakin dan percaya masalah rakyat adalah masalah kita,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Semabok Dalam di sini.

Mohd Noor Helmy (kanan) mencatat aduan yang dikemukakan rakyat semasa bertemu pengundi di Semabok Dalam, Duyong.
Mohd Noor Helmy (kanan) mencatat aduan yang dikemukakan rakyat semasa bertemu pengundi di Semabok Dalam, Duyong.

Dalam pada itu, Mohd Noor Helmy berkata, kedudukannya sebagai penyandang memberi kelebihan kepada BN untuk membuktikan rekod perkhidmatan sepanjang sepenggal berkhidmat kepada rakyat.

Justeru, tempoh berkenaan membolehkan beliau mempersembahkan hasil kerja yang telah dilaksanakan sebagai tawaran kepada rakyat, berbanding hanya bergantung kepada janji manifesto.

Jelasnya, situasi itu berbeza berbanding PRN Melaka 2021 apabila BN menang dengan majoriti tipis 200 undi, manakala PH pula mengatasi BN dari segi undi di kawasan DUN Duyong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Antara PRN 2021 dengan PRU15, ada setahun sahaja dan sekarang sampai ke sini, ada lebih kurang tiga hingga empat tahun yang kita persembahkan sebagai bukti bahawa apa yang telah dihasilkan.

Artikel Berkaitan:

“Jadi untuk kali ini, ada sedikit kelebihan yang mana kita adalah penyandang. Ada ruang membuktikan apa yang telah dilakukan dan ada bukti yang boleh dijadikan sebagai tawaran,” ujar beliau.

Pada PRN Melaka 2021, Mohd Noor Helmy memenangi kerusi DUN Duyong dengan memperoleh 4,684 undi mengatasi calon PH, Damian Baba Yeo yang mendapat 4,484 undi, manakala calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Kamarudin Sidek memperoleh 2,874 undi.

Sementara itu katanya, perjalanan kempen di Duyong berlangsung dalam keadaan tenang dan harmoni tanpa sebarang kejadian di luar jangkaan.

“Setakat ini, kempen berlangsung dengan tenang, harmoni, tak ada apa-apa yang di luar jangkaan. Saya pun bergerak macam rutin harian, bergerak ke sana ke sini jumpa rakya tapi kali ini jumpa pengundi," katanya.

Ditanya kemungkinan terdapat pihak yang cuba menakutkan pengundi berhubung kerjasama BN dan PN, Mohd Noor Helmy berkata, perkara itu tidak sepatutnya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Menurutnya, penyatuan BN dan PN didakwa digambarkan sebagai sesuatu yang boleh menakutkan kaum lain, sedangkan kedua-dua pihak memahami batas dan sempadan masing-masing.

“Jadi, kita memberi jaminan perkara itu tak perlu dirisaukan, tak perlu ditakutkan.

“Kita tahu batas dan sempadan masing-masing. Kita masing-masing mengekalkan budaya Malaysia yang saling menghormati atas pegangan dan amalan yang menjadi tradisi.

“Saya rasa orang ramai daripada pelbagai bangsa ini tak perlu risau dan takut sebenarnya. Ini hanya provokasi sebagai sebahagian daripada pilihan raya,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!