Kerjasama BN-Pas mampu raih kemenangan besar di Melaka - Ismail Sabri

ALOR GAJAH - Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pas sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 diyakini mampu membantu gabungan itu meraih kemenangan besar.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sokongan yang ditunjukkan oleh kepimpinan dan jentera Pas kepada calon BN memberikan petanda positif terhadap kerjasama kedua-dua parti dalam pilihan raya berkenaan.
Menurut Ahli Parlimen Bera itu, beliau berharap kerjasama tersebut dapat dikekalkan sehingga hari pengundian.
“Saya baru datang hari ini dan nampak kerjasama antara BN dengan Pas itu sangat jelas.
“Kita dapat sokongan daripada rakan-rakan Pas dan sebagainya. Hari ini pun ada beberapa pemimpin Pas di Durian Tunggal dan saya harap kerjasama kita itu kekal sehingga hari mengundi,” katanya.

Beliau ditemui pada program tinjauan mesra dan sarapan pagi bersama calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Datuk Dr Mustafa Musa di sini pada Jumaat.
Ismail Sabri turut menyuarakan keyakinan BN mampu mencatat keputusan positif seperti dalam pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini.
Sementara itu, Mustafa berkata, sokongan kepimpinan BN dan rakan komponen membantu membina momentum bagi meraih sokongan pengundi.
Beliau yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya berkata, BN sebelum ini memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti lebih 500 undi dan yakin jumlah itu mampu ditingkatkan pada PRN kali ini.
“Saya percaya dengan kolaborasi dan kerjasama dengan Pas serta keadaan politik semasa dan keinginan rakyat melihat perpaduan ummah ini atau muafakat Melaka.
“Saya yakin kita dapat meningkatkan sokongan rakyat dan sekali gus meningkatkan jumlah undi yang akan diperoleh BN,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan kehadiran Ismail Sabri ke Durian Tunggal sebagai suntikan semangat kepada jentera BN.
“Seperti biasa, beliau berpesan supaya saya menyantuni seberapa ramai pengundi yang boleh dan berjabat tangan dengan seberapa ramai orang yang boleh.
“Kita pastikan gerak kerja bersama Pas diteruskan sama ada melalui ceramah ataupun program tinjauan mesra,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
