PRN Melaka: Tengok pada angka, jangan terpengaruh naratif kebencian - Wan Rosdy

TANGGA BATU - Pengundi di Melaka diminta menilai prestasi pentadbiran kerajaan negeri berdasarkan fakta dan pencapaian ekonomi, bukannya terpengaruh dengan naratif politik pihak lawan seperti 'Selamatkan Melaka'.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah membuktikan prestasi cemerlang menerusi peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pengurangan kadar pengangguran serta perkembangan ekonomi dan sektor pelancongan.
Menurutnya, angka berkenaan merupakan fakta yang boleh dijadikan ukuran oleh rakyat untuk menilai keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri.
"Mereka hanya bercakap untuk selamatkan Melaka tetapi tidak mencadangkan apa yang mereka buat, sedangkan Melaka di bawah pentadbiran Ab Rauf telah menunjukkan prestasi yang cemerlang.
"Angka-angka yang kita lihat daripada KDNK meningkat itu adalah satu fakta. Angka tidak boleh berbohong. Melaka bukan sahaja menunjukkan prestasi atau bercakap tetapi telah membuktikan negeri ini sangat cemerlang di bawah pentadbiran BN," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Santai Anak Muda Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di Bilik Gerakan BN di sini pada Khamis.

DUN Sungai Udang menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini membabitkan calon daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Rais Yasin, Mejar (B) Abdullah Mahadi (Perikatan Nasional) dan Mohd Ridzuan Abdul Rahman (Bersama).
Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN Pahang berkata, beliau optimis BN mampu mengekalkan kemenangan pada PRN Melaka kali ini berdasarkan perkembangan positif jentera parti serta sambutan pengundi terhadap calon yang diketengahkan.
Menurutnya, calon BN terdiri daripada individu berpengalaman selain muka baharu yang mampu mewujudkan sinergi untuk memastikan kemenangan parti itu.
"Saya melihat mood semakin hari semakin bersemangat, jentera parti pun semakin kuat bekerja dan alhamdulillah calon-calon yang ditampilkan UMNO atau BN adalah mereka yang berwibawa serta mempunyai pengalaman.
"Insya-ALLAH saya optimis BN di Melaka akan dapat mengekalkan kemenangan yang diperoleh pada penggal lalu untuk terus mentadbir negeri ini," katanya.
Beliau berkata, penglibatan golongan muda dalam kempen BN juga menunjukkan perkembangan positif, antaranya menerusi usaha Sekolah Patriotik UMNO (SPU) mendekati pengundi baharu.
Katanya, kira-kira 60,000 pengundi kali pertama dikenal pasti pada PRN kali ini, manakala lebih 50 peratus daripada mereka telah disantuni menerusi pendekatan bersemuka dan panggilan telefon.
Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy menegaskan BN merupakan parti yang memperjuangkan kepentingan semua kaum dan tidak pernah meminggirkan mana-mana golongan dalam masyarakat.
Sementara itu, Rais berkata, beliau memanfaatkan tempoh kempen dengan mengadakan aktiviti turun padang bagi mendekati seramai mungkin penduduk di kawasan berkenaan dengan pendekatan kempen secara sihat tanpa politik kotor, fitnah dan memburukkan pihak lawan.

Beliau turut mengharapkan sokongan lebih 9,000 anggota tentera yang layak mengundi awal di Sungai Udang pada 10 November ini.
Mengulas dakwaan kepentingan mempunyai wakil rakyat yang sehaluan dengan kerajaan Persekutuan, Rais berkata, perkara itu bukan isu besar kerana kerajaan negeri sebelum ini juga sentiasa bekerjasama dalam melaksanakan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.
Katanya, perbezaan pandangan politik tidak seharusnya menghalang kerjasama dalam memastikan kepentingan rakyat terus diberi keutamaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

