Parti Demokrat kuasai Senat AS

Penyokong calon Demokrat, James Talarico bersorak meraikan kemenangannya di Austin, Texas. - Foto AFP
Penyokong calon Demokrat, James Talarico bersorak meraikan kemenangannya di Austin, Texas. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Parti Demokrat kembali menguasai Senat Amerika Syarikat (AS) selepas mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Pertengahan Penggal dengan meraih 52 kerusi, sekali gus menamatkan penguasaan Parti Republikan (GOP) dan membuka ruang kepada penentangan lebih ketara di Kongres terhadap Presiden Donald Trump menerusi keputusan diumumkan pada Rabu.

GOP pula ketinggalan dengan hanya memperoleh 40 kerusi selepas kehilangan enam kerusi kepada Demokrat.

Pilihan raya yang berakhir pada Selasa itu mencerminkan kekecewaan mendalam pengundi terhadap peningkatan kos sara hidup, perang berlarutan di Iran dan kebimbangan mengenai amalan rasuah dalam kerajaan.

Keputusan bagi Dewan Perwakilan masih belum dapat dipastikan, namun Demokrat setakat ini berjaya merampas tujuh kerusi ketika parti itu turut berusaha mendapatkan majoriti di dewan berkenaan.

Kejayaan menguasai Senat dijangka mengubah landskap politik sepanjang baki dua tahun pentadbiran Trump selain menyukarkan usaha beliau melaksanakan agenda pemerintahannya termasuk mengekalkan pengaruh konservatif dalam Mahkamah Agung.

Sebelum ini, Trump berikrar menggunakan kuasa veto bagi menyekat agenda Demokrat yang dikhuatiri menyebabkan berlakunya kebuntuan politik di Washington.

Demokrat mencipta kejutan apabila berjaya memenangi beberapa kerusi Senat di negeri yang selama ini menjadi kubu kuat Republikan.

Di Iowa, Josh Turek menewaskan Ashley Hinson manakala Adam Hamilton berjaya menyingkirkan penyandang Senator Roger Marshall di Kansas di bawah siri kemenangan yang tidak dijangka itu.

Di Texas, James Talarico menewaskan Ken Paxton manakala Annie Andrews mengatasi Darline Graham di Carolina Selatan.

Artikel Berkaitan:

Sherrod Brown pula menewaskan Senator Jon Husted di Ohio sementara Roy Cooper memenangi kerusi Senat yang sebelum ini kosong di Carolina Utara.

Senator Demokrat, Jon Ossoff turut berjaya mempertahankan kerusinya di Georgia selepas menewaskan Mike Collins, sekali gus menggagalkan usaha Republikan merampas kerusi yang sebelum ini dianggap antara sasaran utama mereka.

Di New Hampshire, Ahli Dewan Perwakilan, Chris Pappas memenangi persaingan kerusi Senat selepas menewaskan bekas Senator John Sununu. Beliau bakal menggantikan Senator Demokrat, Jeanne Shaheen yang tidak mempertahankan kerusinya selepas memutuskan untuk bersara.

Sementara itu, di Dewan Perwakilan Demokrat semakin menghampiri penguasaan selepas menewaskan enam calon Republikan dalam beberapa persaingan sengit.

Antara yang gagal mempertahankan kerusi masing-masing ialah anggota GOP dari New Jersey, Tom Kean dan tiga wakil dari Pennsylvania, iaitu Ryan Mackenzie, Scott Perry serta Rob Bresnahan.

Demokrat turut berjaya memenangi kerusi yang dikosongkan di Carolina Utara dan Kentucky. Parti itu memerlukan tambahan bersih tiga kerusi untuk memperoleh majoriti di Dewan Perwakilan.

Keputusan pilihan raya itu dijangka membawa perubahan besar terhadap imbangan kuasa politik di Washington.

Menjelang pengundian Selasa lalu, Demokrat mengambil pendekatan berhati-hati ketika GOP meningkatkan perbelanjaan kempen dengan menyalurkan puluhan juta dolar ke negeri dan daerah yang dimenangi Trump dengan majoriti besar dua tahun lalu.

Trump juga giat berkempen di beberapa negeri yang menjadi kubu kuat Republikan dalam usaha mempertahankan sokongan pengundi.

Bagaimanapun, Demokrat yakin rasa tidak puas hati rakyat terhadap kegagalan Trump menangani inflasi mampu mengubah keputusan pilihan raya memihak kepada mereka. - Agensi

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!