1,111 pesawah Kelantan terima RM7.05 juta takaful padi

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (empat dari kanan) bergambar bersama penerima manfaat skim. FOTO Agro Bank
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (empat dari kanan) bergambar bersama penerima manfaat skim. FOTO Agro Bank
A
A
A

PASIR MAS – Seramai 1,111 pesawah di Kelantan menerima bayaran manfaat Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) berjumlah RM7.05 juta tahun ini susulan kerugian tanaman yang dialami mereka termasuk akibat banjir.

Jumlah keseluruhan itu disalurkan kepada pesawah di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Jabatan Pertanian (DOA) Kelantan dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kelantan.

KADA merekodkan jumlah penerima tertinggi iaitu 900 pesawah dengan bayaran RM5.85 juta, diikuti DOA Kelantan melibatkan 182 pesawah (RM1.02 juta) dan IADA Kelantan seramai 29 pesawah (RM168,914).

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, kerugian tanaman bukan sahaja menyebabkan pesawah kehilangan hasil bagi satu musim, malah boleh menjejaskan pendapatan keluarga serta kemampuan mereka untuk kembali mengusahakan sawah.

“Bagi seorang pesawah, kerugian tanaman bukan sekadar kehilangan hasil pada satu musim. Ia turut menjejaskan pendapatan keluarga dan kemampuan mereka untuk kembali mengusahakan sawah.

“Justeru, manfaat takaful ini diharap dapat meringankan beban dan memberi sedikit kelegaan ketika mereka amat memerlukan sokongan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, perlindungan takaful perlu bergerak seiring dengan pembiayaan pertanian bagi meningkatkan daya tahan kewangan pesawah ketika berdepan risiko di luar kawalan mereka.

STTP yang diperkenalkan pada September 2024 menerusi kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan Agrobank menyediakan perlindungan sehingga RM3,000 sehektar semusim bagi kerugian akibat bencana alam.

Skim itu turut menawarkan perlindungan sehingga RM1,500 sehektar semusim bagi kerugian akibat serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman, tertakluk kepada terma serta syarat ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Sumbangan takaful sebanyak RM60 sehektar bagi setiap musim pula ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

“Secara keseluruhan, Agrobank menyalurkan manfaat STTP berjumlah RM14.83 juta kepada pesawah di seluruh negara setakat 1 November tanun ini.

“Sejak diperkenalkan, jumlah manfaat yang disalurkan mencecah RM56.92 juta, selain lebih 100,000 akaun Agrobank dibuka menerusi pelaksanaan skim ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!