Belanjawan 2027: PeSAWAH sambut baik insentif, harap disalur segera hadapi kos operasi

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) berharap insentif yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 dapat disegerakan, bagi membantu meringankan beban pesawah khususnya bagi menampung peningkatan kos operasi penanaman padi.

Pengerusinya Abdul Rashid Yob berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif kerajaan, termasuk kenaikan Insentif Penuaian Padi (IPP) daripada RM50 kepada RM100 sehektar, yang dapat membantu menampung sebahagian kos.

Bagaimanapun, beliau berkata, langkah tambahan perlu dipertimbangkan bagi menangani kos operasi yang kini dianggarkan mencecah RM6,000 sehektar, sekali gus memberi tekanan kepada pendapatan pesawah.

"Bantuan sedia ada masih penting untuk pesawah, namun kita berharap ada pendekatan tambahan yang dapat membantu mengurangkan kos operasi, terutama melibatkan bahan api, upah jentera dan input pertanian.

"Kita faham kerajaan perlu mengimbangi pelbagai keperluan, tetapi sokongan bersasar kepada pesawah amat penting bagi memastikan industri padi negara terus mampan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Abdul Rashid turut berharap kenaikan IPP yang diumumkan itu dapat dilaksanakan dengan lancar, apatah lagi masih terdapat pesawah yang belum menerima bayaran bagi Musim 2/2025 dan Musim 1/2026.

"Kita mengalu-alukan kenaikan IPP ini, kerana ia sedikit sebanyak membantu pesawah. Pada masa sama, kita berharap proses pembayaran dapat dipermudah dan disegerakan, supaya manfaatnya dapat dirasai pada waktu yang diperlukan.

"Walaupun kadar RM100 sehektar belum dapat menampung keseluruhan kos penuaian yang jauh lebih tinggi, bantuan ini tetap dialu-alukan sebagai sebahagian daripada sokongan kepada pesawah,” katanya.

Abdul Rashid berkata, peruntukan pelbagai subsidi dan insentif pertanian keseluruhan berjumlah RM2.62 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2027, amat penting bagi membantu pesawah menguruskan kos input, termasuk baja, racun dan benih.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bagi pesawah Azwan Sharif, 38, peruntukan RM20 juta bagi pemulihan tanah diharap dapat diperluas kepada pesawah yang memerlukan, termasuk mereka di kawasan di luar projek estet padi.

Beliau berkata, mekanisme pelaksanaan yang jelas dan telus penting, bagi memastikan peruntukan itu dapat dimanfaatkan secara meluas berdasarkan keperluan serta kelayakan pesawah.

"Selain itu, isu pembekalan baja, termasuk jenis baja tertentu yang diperlukan mengikut musim penanaman, perlu terus diberi perhatian bagi memastikan proses pengeluaran padi berjalan lancar dan membantu meningkatkan hasil,” katanya.

Bagi pesawah Mohd Farid Ahmad, 40, pula, Belanjawan 2027 mengandungi beberapa inisiatif yang dapat membantu pesawah sepertinya, terutama kenaikan IPP dan pengekalan insentif pembajakan pada kadar RM300 sehektar yang turut diperluas ke Sabah dan Sarawak.

Beliau berharap semua bantuan yang diumumkan dapat dilaksanakan mengikut perancangan, supaya pesawah dapat manfaatnya tanpa kelewatan.

"Kita mengalu-alukan bantuan yang diumumkan kerajaan kerana ia dapat membantu mengurangkan sebahagian beban kos penanaman. Kita berharap pelaksanaannya berjalan lancar, termasuk insentif yang diumumkan dalam belanjawan terdahulu,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!