Covid-19: Selangor Mansion rekod 22 kes positif baharu

Selangor Mansion mencatatkan pertambahan 22 kes positif baharu Covid-19 hari ini. - FOTO ROSLI TALIB
Selangor Mansion mencatatkan pertambahan 22 kes positif baharu Covid-19 hari ini. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

PUTRAJAYA - Selangor Mansion, Jalan Masjid India di Kuala Lumpur mencatatkan pertambahan 22 kes positif baharu koronavirus (Covid-19) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes positif baharu itu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) itu adalah sebanyak 107 kes.

Menurutnya, selain lokaliti itu, sebanyak 10 lagi kes positif baharu Covid-19 dikenal pasti di PKPD Kampung Sungai Lui, Hulu Langat.

"Rekod positif terbaharu Covid-19 itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di lokaliti itu adalah sebanyak 141 kes," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, tiada pertambahan kes positif baharu Covid-19 direkodkan di kawasan PKPD lain.

"Menara Plaza City One kekal 51 kes dengan satu kematian, Malayan Mansion kekal empat kes positif, lain-lain Masjid India tiga kes, Bandar Baru Ibrahim Majid 183 kes dengan empat kematian, luar Bandar Baru Ibrahim Majid 39 kes dan bukan Kampung Sungai Lui 315 kes.

"Di Pusat Bandar Utara dan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang juga tiada kes baharu dan angka kekal dengan 28 kes positif dan setakat ini, saringan ujian Covid-19 dilaksanakan ke atas 7,749 kes," katanya.

Mengulas mengenai kluster himpunan Sri Petaling dan pelajar serta guru tahfiz, Dr Noor Hisham berkata, seramai 2,013 telah disahkan positif Covid-19 setakat ini iaitu pertambahan 35 kes positif baharu berbanding semalam.

Artikel Berkaitan:

Katanya, seramai 29,826 kluster perhimpunan Masjid Sri Petaling telah disaring dan 28,587 sampel telah diambil daripada mereka.

"Sebanyak 25,332 kes negatif dan 1,990 kes dimasukkan ke wad," katanya.