IWK jalin kerjasama libat pengusaha hotel di Langkawi, lindungi pengurusan air sisa kumbahan

LANGKAWI- Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd menjalinkan kerjasama dengan pengusaha hotel di Pulau Langkawi bagi kelestarian pengurusan lemak, minyak dan gris (FOG) serta pengurusan air sisa kumbahan di pusat pelancongan itu.
Jalinan kerjasama berkenaan telah dinyatakan dalam satu penyataan sokongan bersama antara IWK dan Persatuan Hotel Malaysia (Kedah dan Perlis) dengan memberi tumpuan kepada amalan kelestarian alam sekitar dan garis panduan pengurusan FOG, di samping memperkukuhkan kerjasama strategik antara IWK dengan pemain industri.
Ketua Pegawai Operasi IWK, Ir Mohd Taufik Salleh berkata, berdasarkan rekod IWK, tahap penerimaan komuniti terhadap pengosongan tangki septik secara berkala masih rendah dengan kadar pematuhan kurang daripada 15 peratus.
Katanya, keadaan berkenaan amat membimbangkan kerana tangki septik yang tidak dikosongkan secara berkala berisiko mengalami kegagalan fungsi dan limpahan air sisa kumbahan.
"Akibatnya, air sisa kumbahan boleh mengalir ke sistem perparitan, seterusnya mencemarkan sungai dan kawasan perairan Pantai,” katanya pada Program Kesedaran Kelestarian Alam Sekitar di Pulau Langkawi.
Program tersebut dirasmikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Mohamad Yusoff Zakaria.
Kira-kira 100 peserta terdiri daripada pengusaha hotel serta wakil agensi kerajaan termasuk Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Pada majlis berkenaan, IWK bersama SPAN juga melancarkan Ops Helang sebagai inisiatif memperkukuhkan pematuhan pengosongan tangki septik secara berkala, di samping meningkatkan kesedaran komuniti dan pengusaha hotel terhadap kepentingan pengurusan air sisa kumbahan yang berkesan.
Ops Helang yang akan berlangsung dari 13 hingga 15 Julai ini, memberi fokus kepada pemeriksaan dan pemantauan pematuhan pengosongan Tangki Septik Individu yang melibatkan premis komersial dan domestik di seluruh Pulau Langkawi.
Sementara itu, menurut Mohd Taufik operasi IWK di Pulau Langkawi disokong oleh empat Loji Rawatan Kumbahan Serantau iaitu di Kuah, Pantai Tengah 1, Pantai Tengah 2 dan Padang Matsirat dengan rangkaian paip pembetungan bawah tanah sepanjang 85.5 kilometer.
"Selain sistem rawatan kumbahan berpusat, IWK yang merupakan pemegang lesen yang dilantik turut memantau serta menyediakan perkhidmatan pengosongan tangki septik individu bagi sistem kumbahan setempat di seluruh pulau ini yang merangkumi 3,852 pengguna Tangki Septik Individu (IST) dan 14,766 pengguna tangki primitif iaitu Palong
"Pelaksanaan Ops Helang bukan sekadar aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan, tetapi merupakan usaha bersama untuk meningkatkan kesedaran dan memastikan semua pihak memahami tanggungjawab masing-masing dalam menjaga sistem pembetungan.
“Pengurusan sisa kumbahan yang efektif adalah kunci utama bagi memastikan perairan laut dan ekosistem pulau ini kekal terpelihara untuk generasi masa hadapan. Kerjasama daripada pemilik premis, pengusaha hotel, komuniti serta semua pihak berkepentingan amat diperlukan bagi menjayakan usaha ini,” katanya.
Usaha berkenaan turut selari dengan komitmen Kerajaan Negeri Kedah dan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuhkan infrastruktur pembetungan di Langkawi.
Ia termasuk pelaksanaan Projek Sambungan Hartanah Fasa 4 di Pantai Chenang dan Pantai Tengah ke Loji Rawatan Kumbahan Pantai Tengah yang melibatkan 123 premis dengan kos RM7.52 juta di bawah SPAN dan telah siap pada Oktober 2024, serta projek perintis menaik taraf sistem pembetungan primitif di Pulau Tuba.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
