Singapura jawab dakwaan jual semula gas Indonesia

Kapal membawa LNG. Foto Agensi
Kapal membawa LNG. Foto Agensi
A
A
A

SINGAPURA - Kerajaan Singapura tampil menjelaskan dakwaan Indonesia bahawa sebahagian bekalan gas asli cecair (LNG) yang dieksport ke republik itu dijual semula kepada negara lain.

Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Industri Singapura (METI) menegaskan bahawa LNG yang diperdagangkan syarikat berpangkalan di negara itu lazimnya dihantar terus dari negara pengeluar ke destinasi akhir tanpa melalui Singapura secara fizikal.

Penjelasan tersebut menyusul kenyataan Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia yang mengesyaki sebahagian daripada 148 kargo LNG Indonesia diperdagangkan semula ke negara lain.

Menurut laporan Channel News Asia (CNA), Bahlil percaya bukan semua bekalan tersebut digunakan untuk memenuhi keperluan domestik Singapura.

Bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan bukti khusus mengenai kargo yang didakwa dijual semula atau menyatakan tempoh penghantarannya.

Jurucakap METI menjelaskan, Singapura merupakan pusat perdagangan antarabangsa yang turut memainkan peranan penting dalam pasaran LNG global.

Lebih 50 syarikat berpangkalan di republik itu menjalankan kegiatan pembelian, pemasaran dan perdagangan LNG daripada pelbagai negara, termasuk Indonesia.

Antara sumber bekalan utama syarikat berkenaan ialah Amerika Syarikat, Australia dan Malaysia.

“Walaupun keputusan komersial mengenai kargo dibuat oleh pedagang berpangkalan di Singapura, penghantaran LNG secara fizikal lazimnya dilakukan terus dari negara sumber ke negara destinasi tanpa melalui Singapura,” menurut kementerian itu.

Artikel Berkaitan:

METI turut menegaskan bahawa gas asli yang diimport melalui saluran paip dari Indonesia digunakan bagi memenuhi keperluan domestik Singapura dan bukannya untuk dieksport semula.

Penjelasan itu dibuat ketika Indonesia mula mengurangkan eksport gas melalui saluran paip ke Singapura sejak 24 Oktober lalu bagi mengutamakan keperluan tenaga dalam negara.

Menurut Penguasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA), pengurangan bekalan tersebut melibatkan kira-kira 17 bilion unit haba British (Btu) sehari selama 18 hari.

Jumlah itu mewakili kurang dua peratus daripada keseluruhan permintaan gas harian republik berkenaan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong menegaskan bahawa semua pihak diharapkan terus menghormati komitmen yang dipersetujui dalam kontrak komersial.

Sementara itu, Bahlil mempertahankan keputusan Indonesia mengurangkan bekalan gas dengan menegaskan langkah tersebut masih mematuhi had minimum yang ditetapkan dalam perjanjian.

Beliau turut menafikan bahawa Indonesia melanggar sebarang kewajipan kontrak berhubung eksport gas ke Singapura.

Isu berkenaan melibatkan dua bentuk bekalan berbeza, iaitu LNG yang diangkut menggunakan kapal dan gas asli yang disalurkan melalui rangkaian paip.

Setakat ini, dakwaan mengenai penjualan semula LNG Indonesia belum disokong bukti penghantaran khusus yang diumumkan kepada umum. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!