X

Kindly register in order to view this article
!

Rokok haram meningkat ketika PKP

Sebanyak 93 peratus setuju bahawa perokok mungkin beralih membeli rokok haram akibat duti eksais tinggi menyebabkan harga lebih mahal untuk rokok-rokok yang sah.
A
A

KUALA LUMPUR - Ketika rokok semakin kehabisan stok di kedai-kedai runcit kerana larangan pergerakan industri yang bukan dalam 'essential goods' untuk mengekang pandemik koronavirus (Covid-19), perokok akan mula beralih kepada alternatif lain iaitu rokok haram yang lebih murah.

Kekurangan rokok sah di pasaran tempatan berikutan syarikat perlu mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga menjadi halangan menambah stok di pasaran turut menyebabkan permintaan terhadap rokok seludup semakin meningkat.

Pengarah Urusan dan Pengasas Bersama Green Zebras, Steve Murphy berkata, ramai yang beralih kepada rokok seludup kerana dapat menjimatkan perbelanjaan bulanannya berbanding membeli rokok yang sah terutama apabila pendapatan mereka turut terjejas akibat PKP.

“Ketika pendapatan menyusut sudah tentu permintaan terhadap rokok murah akan meningkat terutama rokok haram. Dalam kes rokok halal, produk ini dianggap mahal di Malaysia disebabkan duti eksais tinggi manakala alternatif rokok haram adalah mudah diperoleh dan pada kos yang lebih murah," katanya.

Pendirian Murphy itu adalah susulan penerbitan laporan The Green Zebras berjudul Kaji selidik Persepsi Rakyat Malaysia Mengenai Merokok dan Vaping yang mendapati bahawa 51 peratus rakyat Malaysia berpendapat paras cukai di Malaysia adalah agak terlalu tinggi, manakala 23 peratus menyatakan cukai pendapatan cukup tinggi.

Steve Murphy
Steve Murphy

Menurut laporan itu lagi, sebanyak 81 peratus rakyat Malaysia yang berusia antara 19 hingga 39 tahun merasakan paras cukai sekarang menjadi bebanan kewangan kepada mereka.

Sebanyak 91 peratus responden kaji selidik bersetuju bahawa kos kehidupan di Malaysia hari ini adalah tinggi berbanding lima tahun lalu.

Hampir kesemua, perokok (93 peratus) dan bukan perokok (93 peratus) bersetuju bahawa perokok berkemungkinan beralih membeli rokok haram akibat duti eksais tinggi menyebabkan harga lebih mahal untuk rokok-rokok yang sah.

Majoriti responden iaitu sebanyak 89 peratus menyatakan kebimbangan mereka terhadap RM5 bilion hasil cukai yang lesap kepada perdagangan tembakau tidak sah dan berpendapat bahawa dana dikumpul semula itu kelak wajar disasarkan kembali kepada pelaksanaan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat.

Kolumnis akhbar dan bekas Ketua Pegawai Pelaburan dan Ketua Penyelidikan, Pankaj Kumar berkata, rokok haram memberi impak bukan sahaja kepada pengguna tetapi juga pemilik perniagaan kerana banyak pengilang sah dan pemilik kedai yang menjual rokok sah kini merasai tekanan akibat perdagangan rokok haram di rantau ini.

“Jika perdagangan rokok haram kekal berleluasa, banyak perniagaan sah akan terpaksa menamatkan operasi di Malaysia. Ia akan ada kesan buruk daripada langkah radikal ini, pertambahan daripada segi pengangguran dan kerugian hasil cukai bagi kerajaan," katanya.

Berbilion ringgit dikatakan yang terlepas kepada perdagangan haram sepatutnya boleh disalurkan kepada pembangunan kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan ekonomi.
Berbilion ringgit dikatakan yang terlepas kepada perdagangan haram sepatutnya boleh disalurkan kepada pembangunan kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan ekonomi.

Pankaj menambah, dengan penguatkuasaan PKP sekarang, ia adalah lebih mudah untuk memeriksa kenderaan yang memasuki rangkaian jalan raya utama dan pihak berkuasa boleh digandakan bagi memeriksa perdagangan rokok haram dan memotong rantaian bekalannya.

Sementara itu pakar kromonologi dan penjejak penipuan bertauliah, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, perdagangan haram menggalakkan aktiviti jenayah, rasuah, masalah sosial dan mungkin, aktiviti terorisme.

Menurutnya, berbilion ringgit yang terlepas kepada perdagangan haram ini, sepatutnya boleh disalurkan kepada pembangunan kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan ekonomi.

"Inilah realiti malang bila anda kerugian dalam skala sebegitu besar terhadap perdagangan rokok haram. Berbilion ringgit yang lesap ini adalah penting di dalam situasi semasa, di mana Covid-19 telah menjejaskan jutaan manusia, sama ada secara langsung atau tidak," katanya.

Katanya, alam usaha membanteras perdagangan rokok haram, kerajaan perlu mencari susur galur punca menerusi penggubalan polisi dipacu permintaan yang tegas, penguatkuasaan yang ketat dan meningkatkan kolaborasi di peringkat antara-rantau.

"Kaji selidik ini sememangnya telah memberi jawapan - mampu dibeli. Apa yang seterusnya perlu dilakukan oleh Kerajaan? Rapatkan jurang harga antara rokok sah dengan yang haram. Hapuskan motivasi penjenayah untuk menyeludupnya,” katanya.

Sampel saiz Kaji selidik Persepsi Rakyat Malaysia mengenai Merokok dan Vaping terbitan Green Zebra ini ialah sebanyak 1,010 orang dewasa Malaysia. Ia juga menggambarkan persepsi semua orang dewasa negara ini di seluruh Semenanjung Malaysia.

Butiran hasil kaji selidik itu boleh didapati di http://www.greenzebras.net/.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus