Tak mengaku sebar surat perintah kuarantin Covid-19

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

SELAYANG - Seorang pekerja kedai serbaneka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang, di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan ketakutan kepada awam dengan menyebarkan dalam kumpulan WhatsApp berkaitan gambar surat perintah kuarantin Covid-19, Mac lalu.

Tertuduh, Ahmad Nizwan Hassan, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Tertuduh didakwa dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam dengan menyebarkan gambar surat perintah kuarantin Covid-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) milik Noorazlin Razali, 47, dalam kumpulan WhatsApp ‘2023 Kota Emerald’.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai serbaneka di Kota Emerald, Rawang di sini pada kira-kira jam 8.03 malam, 21 Mac lepas mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, MS Arunjothy tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Mariappan yang mewakili tertuduh memohon jaminan dibenarkan dengan alasan dia menanggung keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: