'Kami bersyukur, terima keputusan mahkamah' - Keluarga Zaharif harap hukuman jadi pengajaran

Keluarga Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie menerima dengan reda keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun enam bulan terhadap pegawai kanan polis, Deputi Superintenden Mohd Nazri Abdul Razak.
Keluarga Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie menerima dengan reda keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun enam bulan terhadap pegawai kanan polis, Deputi Superintenden Mohd Nazri Abdul Razak.
A
A
A

IPOH - Keluarga Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie menerima dengan reda keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun enam bulan terhadap pegawai kanan polis, Deputi Superintenden Mohd Nazri Abdul Razak.

Abang mangsa, Zarul Fitri Muhd Zamrie, 32, berkata, keluarganya bersyukur dan menerima ketetapan mahkamah berhubung kes yang meragut nyawa adiknya itu, tiga tahun lalu.

Menurutnya, keluarga turut berterima kasih kepada hakim, pihak pendakwaan serta semua saksi yang membantu sepanjang proses perbicaraan, termasuk pelajar sekolah yang tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes langgar pelajar: Pegawai kanan polis dipenjara 7 tahun 6 bulan, diarah bayar pampasan RM50,000

Zarul Fitri
Zarul Fitri

"Pertama sekali, kami bersyukur dengan hukuman yang ditentukan mahkamah. Kami terima dengan reda apa yang telah diputuskan. Ibu bapa saya juga terima keputusan ini dengan hati yang lapang.

"Terima kasih kepada semua pihak yang membantu siasatan kes ini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berharap, tragedi berkenaan menjadi pengajaran kepada masyarakat agar lebih berhati-hati dalam setiap tindakan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kehilangan adik tersayang bukan sahaja memberi kesan kepada keluarga, malah tragedi itu seharusnya membuka mata semua pihak mengenai pentingnya menghargai nyawa manusia.

"Bagi saya, perkara ini bukan sekadar kehilangan seorang adik. Ia juga perlu menjadi pengajaran kerana nyawa manusia bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.

"Kita tidak tahu bagaimana tindakan atau sikap kita boleh membawa akibat kepada orang lain. Saya harap perkara seperti ini menjadi pengajaran dan nyawa anak muda tidak dipandang enteng," katanya.

Beliau yang mengikuti perkembangan keputusan itu bersama bapanya dan seorang lagi adik tidak menjangkakan keputusan kes tersebut diperolehi pada hari ini.

Bagaimanapun katanya, keluarga dimaklumkan mengenai keputusan mahkamah itu menerusi panggilan telefon sebelum diminta hadir sama ke mahkamah.

"Syukurlah semuanya sudah selesai," katanya.

Media melaporkan, Mohd Nazri, 47, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun enam bulan selepas pertuduhan membunuh Muhammad Zaharif Affendi dipinda kepada pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat.

Tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan itu iaitu dari Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304(b) kanun sama di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh pada akhir kes pendakwaan.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh membayar wang pampasan kepada keluarga mangsa sebanyak RM50,000 selain memerintahkan hukuman penjara berkenaan dikira bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 15 Disember 2023.

Pada 18 Disember 2023, Mohd Nazri yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif,17, dengan mengetahui perbuatannya itu mungkin menyebabkan kematian.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di dalam daerah Kinta antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!