Warga Malaysia kongsi pengalaman 'lockdown' di Itali

Norul Ridzuan (kanan) dan Muhammad Amin (kiri) ketika ditemubual Radio TV Batu Kurau secara langsung melalui Facebook Live.
Norul Ridzuan (kanan) dan Muhammad Amin (kiri) ketika ditemubual Radio TV Batu Kurau secara langsung melalui Facebook Live.
A
A
A

IPOH - Rakyat Malaysia yang berhadapan lockdown di Italy memuji negara ini yang masih memberi kelonggaran tertentu berbanding negara berkenaan dalam tempoh menghadapi pandemik koronavirus (Covid-19).

Jurutera Aeroangkasa di Agensi Angkasa ALTEC Norul Ridzuan Zakaria berkata, penularan Covid-19 di negara itu memaksa kerajaan lebih tegas dengan mengeluarkan hanya satu surat untuk setiap keluarga jika keluar rumah.

"Jika mahu keluar perlu bawa surat itu. Jika tidak masuk lokap," katanya yang kini selamat pulang ke tanah air.

Menurutnya, perintah berkurung di Itali jauh berbeza dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia dan penduduk hanya dibenarkan keluar dalam jarak dua hingga tiga kilometer.

"Jika ke pasar raya, hanya empat orang sahaja dibenarkan masuk dalam satu-satu masa. Polis sentiasa mengawal pasar raya dan semua kedai tutup pada jam 6 petang," katanya ketika ditemubual secara langsung menerusi Radio TV Batu Kurau pada 18 April lalu.

Beliau menjelaskan keadaan di Itali mula tidak terkawal apabila wabak Covid-19 merebak dengan begitu cepat sehingga menyebabkan pihak berkuasa negara itu menjadi panik.

Katanya, kawasan yang menjadi serangan utama wabak tersebut merupakan tempat paling maju di Itali dengan kemudahan kesihatan lengkap.

Turut serta dalam temubual itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria.

Artikel Berkaitan:

Norul Ridzuan yang menginap di Torino ketika itu menjelaskan semua urusan jual beli kebanyakannya dibuat secara dalam talian dan tidak berlaku pembelian panik walaupun mereka berdepan perintah berkurung yang sangat ketat.

Katanya, antara peraturan yang ditetapkan kerajaan Itali ialah penjarakkan sosial sejauh dua meter manakala orang ramai tidak digalakkan memakai topeng muka kerana sukar diperoleh berbanding di Malaysia selain harga yang mahal sehingga mencecah 5 Euro atau RM23 sekeping.

Menceritakan detik-detik sebelum dibawa pulang ke Malaysia, Norul Ridzuan berkata, isyarat kecemasan pertama dihantar kepada kerajaan Malaysia pada 9 Mac melalui Facebook meminta tindakan segera diambil untuk membawa pulang rakyat Malaysia di sana.

"Saya minta tindakan segera diambil selepas kerajaan Itali gagal mengawal wabak Covid-19 itu. Jadi sebelum rakyat Malaysia yang tinggal di Itali dijangkiti, lebih baik dikeluarkan segera.

"Alhamdulillah, selepas itu saya menerima balasan positif daripada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammudin Hussein bahawa kerajaan sedang berurusan dengan kerajaan Itali untuk bawa pulang rakyat Malaysia di sana," katanya yang kini tinggal di Changkat Jering, Taiping.

Menurut Norul Ridzuan, selepas mendapat berita tersebut, dia dan keluar nekad untuk keluar dari Torino ke Rom bagi memudahkan persediaan untuk pulang memandangkan Pejabat Kedutaan Malaysia berada di sana.

Jelasnya, sampai sahaja di Rom, kerajaan Itali membuat keputusan untuk tidak membenarkan rakyat Malaysia pulang dan beliau sekeluarga terpaksa menunggu perkembangan seterusnya.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, beliau mendapat khabar gembira apabila kerajaan Malaysia berjaya memujuk kerajaan Itali untuk membenarkan mereka pulang ke negara asal dengan beberapa syarat ditetapkan.

Katanya, pada 25 Mac, dia dan keluar bersama sekumpulan rakyat Malaysia dibawa menaiki pesawat AirAsia pulang daripada Rom ke Kuala Lumpur selama hampir 12 jam dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 26 Mac.

"Setelah sampai, kami terus dibawa menggunakan bas khas ke pusat kuarantin di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Nilai, Negeri Sembilan. Kesemua yang tiba diambil sampel untuk diuji sama ada positif Covid-19 atau tidak.

"Alhamdulillah, selepas 14 hari dikuarantin di sana, kami semua disahkan negatif. Kami juga gembira dengan layanan diberikan sepanjang berada di dalam tempoh kuarantin itu," katanya.

Norul Ridzuan bagaimanapun kesal dengan sikap individu tertentu yang menjalani kuarantin kerana menganggap proses tersebut seperti di dalam penjara.

Katanya, tahap pengawasan yang begitu ketat oleh pihak berkuasa di pusat kuarantin itu dibuat kerana kluster Itali amat berisiko terkena jangkitan Covid-19.