PATI, ikan asing isu berbeza tetapi masih sama

ISU pendatang asing tanpa izin (PATI) dan ikan asing mencetuskan suasana tidak selesa kepada warga tempatan.
Walaupun ia dua perkara yang berlainan tapi isunya hampir sama dan tidak banyak beza kerana kedua-duanya merupakan pendatang.
PATI menimbulkan rasa tidak senang kepada penduduk tempatan, ada yang mengeluh kediaman mereka bagai sudah dikuasai orang asing itu.
Mereka kata kini kawasan itu bagai berada di negara luar, orang asing ini mabuk, buat bising, meludah sirih dan bermacam isu lagi.
Bagi ikan asing pula, pengkaji serta pencinta alam semakin resah apabila sungai di beberapa negeri sudah mula dikuasai ikan asing invansif seperti ikan bandaraya (pleco), baung ekor merah dan keli Afrika.
Spesies asing ini antara yang paling berjaya membiak dan mengancam ekosistem serta populasi ikan asli di sungai-sungai Malaysia.
Bagi isu PATI dan ikan asing ini, apakah puncanya? Inilah persoalan yang perlu dirungkaikan secara menyeluruh.
Hendak kata penguatkuasaan lemah, tidak boleh juga sebab tindakan sering dilaksanakan dari masa ke masa daripada pelbagai agensi berkaitan.
Kalau isu PATI, serbuan dan tangkapan sering dilaksanakan di bermacam lokasi, malah isu ikan asing pula penguatkuasaan digerakkan dengan tindakan di premis ikan hiasan misalnya.
Bagaimanapun baru-baru ini gempar pula tangkapan ikan piranha oleh pemancing di Empangan Klau, Raub.
Di mana kelompangannya? Mungkin ada sikap orang kita yang beri 'peluang' untuk orang dan ikan asing ini terus berkembang.
Ada yang bagi alasan pelihara ikan asing sebagai hobi, tapi akhirnya tanpa rasa tanggungjawab, spesies invansif itu dibuang di sungai kita.
Namun benarkah orang kita sendiri yang beri muka? Mungkin ada yang setuju dan mungkin juga tidak. Tapi itu mungkin antara puncanya dan bagaimana hendak ditangani?
Sudah pasti pihak berwajib ada tindakan yang dirancang bagi tangani isu ini. Teruskan!
Pihak berwajib perlu teruskan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
