Monsun Timur Laut bermula 27 Oktober, dijangka bawa tiga hingga lima episod hujan lebat

Tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora serta risiko kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan. Gambar hiasan - Foto Bernama
Tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora serta risiko kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan. Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada 27 Oktober ini berpotensi membawa hujan lebat berterusan dan menyebabkan banjir di kawasan berhampiran sungai serta berkedudukan rendah.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, MTL 2026/2027 dijangka berterusan sehingga Mac tahun depan.

“Semasa MTL, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah timur laut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pada fasa awal monsun dari November 2026 hingga Januari 2027, sebanyak tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku.

Keadaan itu katanya, berpotensi menyebabkan banjir, khususnya di kawasan berhampiran sungai dan kawasan tanah rendah.

"Tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora serta risiko kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan," katanya.

Mohd Hisham berkata, memasuki fasa akhir MTL dari Januari hingga Mac 2027, taburan hujan dijangka berkurangan, terutama di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia dan Sabah.

“Keadaan ini akan menyebabkan cuaca panas dan kering serta berpotensi berlakunya gelombang haba yang lebih ekstrem berikutan pengaruh fenomena El Niño sangat kuat (Super) yang sedang berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya bersiap sedia menghadapi keadaan cuaca sepanjang MTL dan sentiasa peka terhadap maklumat, nasihat ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia.

Artikel Berkaitan:

Maklumat boleh diperoleh melalui laman web www.met.gov.my⁠, aplikasi mudah alih myCuaca, media sosial rasmi MetMalaysia atau talian hotline 1-300-22-1638.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!