Jurang digital pembelajaran atas talian

PERSPEKTIF

No Image Caption
A
A
A

Kerajaan Malaysia sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memerangi penyebaran virus koronavirus (Covid-19).

Koronavirus telah menjejaskan kita semua di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Langkah-langkah dan tindakan PKP pastinya mendatangkan beberapa kesan kepada rakyat di kawasan luar bandar dan bandar. Pelajar pada mulanya seronok untuk bercuti dan gembira dengan masa lapang mereka.

Namun begitu, situasi tersebut kemudian berubah kerana aktiviti harian mereka terjejas. Misalnya, mereka tidak dapat pergi ke sekolah dan kolej, bermain bola sepak dan bertemu dengan rakan-rakan.

Data terbaharu agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), UNESCO menunjukkan sebanyak 363 juta murid dan golongan belia terjejas berikutan penutupan sekolah dan universiti.

Susulan pelaksanaan PKP, segelintir pelajar berhubung melalui rangkaian digital atau lebih dikenali sebagai rangkaian sosial dalam talian. Aktiviti dalam talian tidak hanya terhad untuk rangkaian sosial dan perhubungan.

Mereka mungkin menggunakan medium teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk tujuan lain seperti pengajian dalam talian, aktiviti pembelajaran dan hiburan. Sekolah dan kolej di seluruh negara juga tidak ketinggalan melaksanakan sesi pengajaran, pembelajaran dan aplikasi interaktif atas talian.

Aktiviti pembelajaran secara dalam talian akan lebih mudah bagi mereka yang mempunyai akses atau capaian kepada dunia digital.

Namun, ia sering menjadi cabaran apabila merujuk kepada apa yang dipanggil sebagai ‘jurang digital’ iaitu jurang antara mereka yang mempunyai akses kepada komputer dan internet, dan mereka yang mempunyai akses terhad atau tiada akses sama sekali.

Artikel Berkaitan:

Data Penggunaan dan Akses Teknologi Maklumat dan Komunikasi yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2018 menunjukkan bahawa akses internet isi rumah di seluruh negara meningkat antara 85.7 peratus pada tahun 2017 dan 87 peratus pada 2018.

Bagaimanapun, akses komputer berkurang dalam tempoh tersebut iaitu 74.1 peratus dan 71.7 peratus. Tambahan pula, peratusan individu yang menggunakan komputer mengikut negeri dan strata tahun 2018 menunjukkan perbezaan ketara dalam penggunaan seluruh negara antara bandar (75.6 peratus) dan luar bandar (54.1peratus).

Takut teknologi

Data juga menunjukkan bahawa hanya lima hingga enam peratus belia dapat mengendalikan komputer dan mempunyai keyakinan diri dalam melakukan tugasan komputer yang lazim.

Belia luar bandar, berumur 20 hingga 30 tahun, mempunyai kekurangan kemahiran ICT dan ketakutan terhadap teknologi. Ia adalah fakta yang membimbangkan.

Data cenderung menunjukkan bahawa pengajaran dan pembelajaran dalam talian perlu direka dan dirancang dengan baik sebelum dilaksanakan. Antara faktor yang perlu dipertimbangkan oleh kerajaan ialah:

1. Keluarga berpendapatan rendah banyak bergantung terutamanya kepada peranti mudah alih (telefon pintar dan telefon bimbit) untuk akses internet yang mungkin tidak sesuai untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.

2. Kos akses internet boleh menjadi halangan bagi keluarga berpendapatan rendah selain infrastruktur capaian internet di rumah yang tidak diedarkan secara merata di kawasan bandar dan luar bandar.

3. Kebanyakan penggunaan internet di Malaysia adalah penggunaan kandungan. Penggunaan kandungan merangkumi media sosial, permainan dan memuat turun filem atau muzik. Tugasan digital produktif seperti mencipta aplikasi mudah alih, ciptaan kandungan, pembelajaran daripada kursus dalam talian formal dan rangkaian profesional biasanya sangat terbatas dan jarang.

* S.M. Reza Yamani Sayed Umar ialah pemegang Ijazah Sarjana Pembangunan Ekonomi (MSc) daripada Wageningen University and Research, Belanda. Beliau kini sedang mengikuti pengajian pascasiswazah PhD dalam bidang Ekonomi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).