Melaka benarkan semula majlis akad nikah

 Majlis akad nikah itu perlu mengikut garis panduan yang disediakan jabatan itu dan garis panduan itu berkuat kuasa hari ini sehingga tiga bulan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.
Majlis akad nikah itu perlu mengikut garis panduan yang disediakan jabatan itu dan garis panduan itu berkuat kuasa hari ini sehingga tiga bulan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) hari ini bersetuju membenarkan semula majlis akad nikah di negeri ini bermula hari ini setelah ia ditangguhkan pada akhir bulan lalu bagi mengekang penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat berkata, bagaimanapun majlis akad nikah itu perlu mengikut garis panduan yang disediakan jabatan itu dan garis panduan itu berkuat kuasa hari ini sehingga tiga bulan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

Jelasnya, keutamaan bernikah hanya diberi kepada pemohon yang mendapat Kebenaran Berkahwin (Borang 4) dan Catatan Daftar Perkahwinan (Borang 5) daripada Pejabat Agama Islam Daerah di negeri Melaka sebelum PKP bermula.

"Selain itu, keutamaan turut diberikan kepada pasangan yang mempunyai alasan yang munasabah atau mendesak serta diberi kebenaran khas oleh pihak JAIM," katanya.

Menurutnya, kebenaran mengadakan majlis akad nikah dalam tempoh PKP dan selepas tiga bulan tempoh PKP ditamatkan ini satu langkah untuk mencegah perkara yang boleh membawa kerosakan dan keburukan (saddu al-zarai'e ).

Bagaimanapun katanya lagi, keperluan mengadakan akad nikah ini juga hendaklah mengikut arahan pemerintah dari masa ke semasa dan antara syarat lain ditetapkan adalah premis upacara pernikahan yang dibenarkan sama ada di Pejabat Agama Islam Daerah atau mana-mana lokasi yang ditentukan JAIM.

"Premis tempat akad nikah hendaklah di disinfeksi mengikut tatacara yang disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dan selepas majlis diadakan.

"Majlis akad nikah hanya akan diadakan pada tarikh, hari dan waktu yang ditetapkan oleh pihak JAIM manakala setiap pasangan hendaklah mematuhi jadual majlis akad nikah yang ditetapkan oleh jabatan," katanya dalam kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Selain itu Azhan berkata, JAIM boleh membatalkan majlis akad nikah sekiranya wali dan pasangan pengantin gagal hadir pada tarikh, hari dan masa yang ditetapkan manakala tetamu yang dibenarkan hadir hanya terdiri daripada Pendaftar Nikah Cerai Rujuk Kanan atau mana-mana jurunikah yang ditetapkan, wali, pengantin lelaki dan perempuan serta dua saksi terdiri daripada pegawai JAIM.

Menurutnya, surat Perakuan Nikah Sementara akan dikeluarkan serta-merta kepada pasangan yang sudah bernikah, yang mana surat berkenaan adalah bersifat sementara dan sijil nikah hanya dikeluarkan selepas PKP tamat.

Katanya, pasangan atau seorang daripada mereka perlu hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah tempat pasangan bernikah selepas tempoh PKP tamat dengan membawa bayaran sebanyak RM70 berserta gambar berukuran pasport bagi tujuan proses pendaftaran nikah dan kad nikah.

"Kebenaran balai polis berdekatan juga diperlukan bagi pasangan pengantin yang berada melebihi radius 10 kilometer (km) daripada tempat nikah pasangan pengantin termasuk ahli keluarga yang berada di luar radius 10km daripada tempat akad nikah dijalankan," katanya.