Sila log masuk terlebih dahulu.

Makam Sultan Melaka di Pagoh

Makam Sultan Alauddin Riayat Shah yang berada dalam pekarangan masjid di Kampung Raja.
Makam Sultan Alauddin Riayat Shah yang berada dalam pekarangan masjid di Kampung Raja.
A
A
A

PAGOH - Pemimpin berjiwa rakyat, sentiasa rendah diri dan seorang hamba yang taat kepada Tuhannya, itu gambaran dinyatakan buat Almarhum Sultan Alauddin Riayat Shah.

Meskipun terdapat pelbagai versi termasuk persepsi negatif mengenai kedatangan baginda ke Pagoh sehingga menghembuskan nafas terakhir dan dimakamkan di sini, namun peribadi mulia Sultan Melaka itu terus disanjung sehingga kini.

Di paparan internet, kebanyakan pengkaji sejarah bebas berpendapat Sultan Alauddin berangkat ke Pagoh kerana melarikan diri selepas negerinya dijajah.

Namun, berbeza kisah diceritakan salah seorang penduduk asal di Kampung Raja, Pagoh; Hamzah Ali, 77, atau mesra disapa Cikgu Hamzah.

Ke Pagoh untuk berubat

Berdasar rujukan Cikgu Hamzah berkisarkan riwayat Sultan Alauddin, selain pendedahan oleh beberapa pakar sejarah antaranya tulisan Professor Dr Hamka dan kisah orang-orang lama di kampung ini, mereka percaya keberangkatan baginda sultan ke Pagoh adalah kerana ingin beristirahat di istana hinggap (rumah persinggahan).

Menurut Cikgu Hamzah, Sultan Alauddin telah membina istana hinggap kerana Sungai Pagoh merupakan laluan utama dari Melaka menuju ke Pahang.

Dek kerana sungai ini penghubung ke beberapa negeri lain, maka sebuah istana hinggap didirikan di Pagoh untuk Sultan Alauddin berehat sekiranya mempunyai urusan di negeri luar.

“Ini terbukti apabila Masjid Sultan Alauddin Riayat Shah di kampung ini dibina berhampiran makam baginda beberapa tahun lalu, menemukan pelbagai barang istana seperti pinggan mangkuk dan perhiasan tembikar.

Artikel Berkaitan:

“Melalui penceritaan terdahulu, pada 1488, baginda bersama beberapa pengikut telah belayar ke Pagoh kerana ingin berubat memandangkan perkampungan itu dahulunya mempunyai masyarakat Orang Asli yang pakar perubatan tradisional,” katanya.

Namun, ujar Cikgu Hamzah, perubatan itu tidak sempat dijalankan apabila tahap kesihatan baginda merosot sebelum meninggal dunia di Pagoh tidak lama kemudian.

Mohd Ishak (kanan) dan Ketua Kampung Raja, Ungku Shafri Ungku Mansor melihat papan tanda lama mengisahkan serba sedikit sejarah tentang Sultan Alauddin.
Mohd Ishak (kanan) dan Ketua Kampung Raja, Ungku Shafri Ungku Mansor melihat papan tanda lama mengisahkan serba sedikit sejarah tentang Sultan Alauddin.

Dua kubur dengan nisan wanita

Bagaimanapun, timbul persoalan apabila batu nisan tempat persemadian baginda diletakkan nisan wanita dan sebuah lagi kubur di sebelahnya.

“Di makam ini, terdapat dua buah kubur dan salah satunya milik Sultan Alauddin Riayat Shah. Meskipun tidak mengetahui motif sebenar dua kubur ini diletakkan nisan wanita, namun pakar sejarah dan orang lama percaya makam ini milik baginda dan adik perempuan baginda.

“Sebab umum mengetahui Sultan Alauddin ke sini bersama pengikutnya, namun tidak disertai isterinya. Justeru, sebaik dua beradik ini meninggal dunia, mereka dimakamkan dengan batu nisan perempuan bagi mengelakkan fitnah.

“Jika setu nisan milik lelaki dan satu lagi perempuan, pasti orang anggap ia milik pasangan suami isteri,” katanya.

11 tahun perintah Melaka

Mengupas sejarah pentadbiran Sultan Alauddin, Cikgu Hamzah berkata, baginda telah memerintah Melaka selama 11 tahun apabila memegang takhta daripada bapanya, Sultan Mansor Shah pada 1477.

“Selama 11 tahun memerintah, tiada pandangan buruk terhadap baginda sebagai sultan. Malah, masyarakat Melaka sendiri mengakui Sultan Alauddin seorang pemimpin berjiwa rakyat apabila sikap baginda amat serius dalam menjaga negeri dan rakyat jelata.

“Setelah mengkaji kisah beliau, beberapa pakar sejarah menolak dakwaan pihak tertentu yang berpendapat Sultan Alauddin melarikan diri kerana Melaka diserang.

“Ini terbukti apabila negeri Hang Tuah itu dijajah Portugis pada 1511 iaitu di bawah pimpinan anakandanya, Sultan Mahmud Shah sedangkan Sultan Alauddin mangkat pada 1488,” katanya.

Amalan khurafat di makam

Sementara itu, ditanya mengenai amalan khurafat di dua buah kubur lama ini, Cikgu Hamzah tidak menolak perkara itu pernah terjadi.

“Tapi itu zaman dahulu bila orang bawakan pulut kuning, baling duit dan sebagainya. Tidak terkecuali datang membacakan doa dan Yassin setelah mendakwa mimpi bertemu sultan yang meminta mereka mencari makamnya.

“Namun, aktiviti kira-kira 40 tahun lalu itu kini semakin hilang kerana kemodenan dan teknologi,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, terdapat pakar sejarah dari Jepun dan Singapura melakukan kajian.

“Dua ke tiga bulan sekali memang ada yang datang. Selain pengunjung luar, banyak juga terima kedatangan pelajar dan penyelidik sejarah,” katanya.