Kebakaran hutan Indonesia: 223 individu, sembilan syarikat jadi suspek

Anggota tentera turut dikerahkan untuk membantu pasukan bomba mengawal api daripada terus marak di Banjarbaru, Kalimantan Selatan. Foto: AFP
Anggota tentera turut dikerahkan untuk membantu pasukan bomba mengawal api daripada terus marak di Banjarbaru, Kalimantan Selatan. Foto: AFP
A
A
A

JAKARTA - Polis Indonesia menamakan 223 individu sebagai suspek dalam kes kebakaran hutan dan tanah di seluruh negara ketika pihak berkuasa mempergiat operasi penguatkuasaan serta pemadaman bagi menangani krisis jerebu toksik rentas sempadan.

Senarai itu didedahkan Pesuruhjaya Kanan dari Direktorat Jenayah Sumber Tenaga dan Alam Sekitar, Pipit Subiyanto pada Rabu berdasarkan 273 laporan polis melibatkan kawasan seluas lebih 5,150 hektar yang musnah dijilat api.

Riau merekodkan jumlah suspek tertinggi iaitu 65 orang diikuti Sumatera Selatan dengan 48 orang dan Kalimantan Tengah (39).

Suspek lain dikenal pasti di Kalimantan Barat, Kalimantan Timur, Jambi, Kalimantan Selatan, Kalimantan Utara, Sulawesi Tenggara dan Sulawesi Selatan.

Selain itu, polis turut menamakan sembilan syarikat yang dikaitkan dengan kebakaran yang memusnahkan kawasan tanah seluas lebih 25,600 hektar.

Usaha penguatkuasaan oleh Polis Nasional Indonesia bersama kementerian berkaitan menunjukkan kemajuan ketara dengan 57 entiti perniagaan telah dikenakan tindakan penutupan sementara selepas didapati melakukan pelanggaran berkaitan kebakaran hutan dan tanah.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak memperincikan jenis pelanggaran atau kesalahan yang dilakukan.

Sementara itu, Kementerian Perhutanan sedang meneruskan prosiding jenayah terhadap 17 syarikat manakala 26 lagi dikenakan tindakan pentadbiran. Butiran mengenai bentuk tindakan tersebut juga tidak didedahkan.

Dalam perkembangan berkaitan, pemerintah memperkukuh strategi menangani kebakaran hutan dan tanah dengan memutuskan 'kepala api' iaitu bahagian hadapan pergerakan kebakaran menggunakan jentera berat serta membina telaga gerudi bagi mempercepat operasi pemadaman dan menghalang api daripada merebak lebih jauh.

Artikel Berkaitan:

Menteri Perhutanan, Raja Juli Antoni berkata, strategi itu memberi tumpuan kepada titik utama pergerakan api.

Selain penggunaan jentera berat, pemerintah turut merancang membina kira-kira 30 telaga gerudi bagi menyokong operasi pemadaman di kawasan berisiko tinggi. Telaga gerudi ialah lubang sempit yang digerudi ke dalam tanah untuk mendapatkan sumber air bawah tanah.

Telaga berkenaan akan dibina pada jarak kira-kira 50 meter antara satu sama lain di sepanjang bahagian hadapan kebakaran bagi memastikan bekalan air mencukupi di lokasi kebakaran. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!