'Bukan tolak bantuan Jepun, Indonesia mampu tangani kebakaran sendiri' - BNPB

JAKARTA – Indonesia mampu meneruskan usaha menangani kebakaran hutan dan tanah (karhutla) secara kendiri selepas misi bantuan Jepun berakhir, sekali gus menepis tanggapan bahawa Jakarta menolak bantuan negara itu.
Pemangku Ketua Pusat Data dan Komunikasi Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BNPB), Berton SP Panjaitan berkata, penamatan misi berkenaan dibuat selepas operasi bantuan antarabangsa itu selesai mengikut perancangan serta persetujuan kedua-dua negara.
“Penugasan itu sudah selesai dan Indonesia juga dianggap mampu menanganinya sendiri, bukannya Indonesia menolak bantuan mereka,” katanya kepada Kompas.com pada Selasa.
Beliau menegaskan, berakhirnya misi Jepun tidak bermakna ancaman kebakaran hutan dan tanah di Indonesia telah reda sepenuhnya. Sebaliknya, operasi menangani kebakaran masih diteruskan oleh pihak berkuasa negara itu.
Menurut kenyataan rasmi Kementerian Pertahanan Jepun pada 29 September lalu, misi bantuan pemadaman kebakaran di Kalimantan berlangsung dari 16 hingga 29 September 2026.
Sepanjang tempoh itu, tiga helikopter CH-47 Chinook milik Jepun melaksanakan lebih 40 operasi pemadaman dari udara dengan menumpahkan kira-kira 220 tan air bagi membantu memadamkan kebakaran.
Berton berkata, kerajaan Indonesia menghargai bantuan Jepun yang membantu menghalang kebakaran daripada merebak.
Beliau turut menjelaskan bahawa operasi susulan boleh diteruskan oleh kerajaan Indonesia selepas misi berkenaan selesai.
Ketika ini, usaha menangani karhutla diteruskan melalui operasi pasukan petugas di darat, sokongan udara, pemantauan titik panas serta langkah pencegahan bagi mengelakkan kebakaran berulang.
Berton mengingatkan bahawa risiko kebakaran masih perlu diberi perhatian, khususnya di kawasan tanah gambut yang berpotensi terbakar semula.
Justeru, operasi pemadaman dan langkah pencegahan perlu diteruskan walaupun bantuan antarabangsa telah berakhir.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Jepun dan semua anggota yang menyertai misi itu, sambil menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai pengalaman penting untuk memperkukuh penyelarasan serta keupayaan pengurusan bencana kedua-dua negara pada masa hadapan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

