Kisah pilu Novita, redah api hingga kaki melecur

Novita dirakam di atas pokok ketika kebakaran hutan dan tanah melanda Katune, Kalimantan Tengah.
Novita dirakam di atas pokok ketika kebakaran hutan dan tanah melanda Katune, Kalimantan Tengah.
A
A
A

PALANGKA RAYA - Seekor orang utan betina mengalami kecederaan melecur pada tapak kaki dan jari selepas terpaksa meredah kawasan hutan yang sedang terbakar untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran besar di Kalimantan, Indonesia.

Orang utan yang diberi nama Novita itu ditemukan berlindung di atas sebatang pokok yang hampir kehilangan semua daunnya ketika asap tebal menyelubungi kawasan hutan berkenaan.

Rakaman yang dikeluarkan sebuah pertubuhan pemuliharaan menunjukkan haiwan tersebut bertahan di atas pokok ketika kebakaran terus merebak di kawasan sekelilingnya.

Menurut laporan AFP, Novita yang dianggarkan berusia antara tiga hingga empat tahun merupakan antara puluhan orang utan yang diselamatkan daripada kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan sejak beberapa bulan lalu.

Novita berada di atas pokok dalam keadaan kawasan sekitarnya diselubungi asap kebakaran hutan.
Novita berada di atas pokok dalam keadaan kawasan sekitarnya diselubungi asap kebakaran hutan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Borneo Orangutan Survival (BOS), Jamartin Sihite berkata, Novita terpaksa melalui kawasan yang sedang terbakar sebelum berjaya memanjat pokok untuk menyelamatkan diri.

"Kami menyelamatkannya dari kawasan yang sedang terbakar. Sebelum pasukan kami tiba, ia terpaksa meredah api untuk sampai ke pokok dan memanjatnya.

"Akibatnya, tapak kaki dan jari kakinya mengalami kecederaan melecur," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pasukan penyelamat yang menemukan haiwan itu pada penghujung September lalu terpaksa menggunakan ubat pelali sebelum memberikan bantuan oksigen dan cecair melalui saluran intravena.

Novita kemudian dibawa ke Pusat Pemulihan Nyaru Menteng di Palangka Raya untuk menerima rawatan lanjut.

Ketua Agensi Pemuliharaan Sumber Asli Kalimantan Tengah, Andi Muhammad Khadafi berkata, orang utan berkenaan masih menjalani rawatan intensif akibat kecederaan yang dialaminya.

Api kembali marak di kawasan tanah gambut yang hangus di Banjar, Kalimantan Selatan, ketika kebakaran bawah tanah terus menyukarkan usaha pemadaman.
Api kembali marak di kawasan tanah gambut yang hangus di Banjar, Kalimantan Selatan, ketika kebakaran bawah tanah terus menyukarkan usaha pemadaman.

"Novita masih menerima rawatan intensif. Kami dimaklumkan kecederaan melecur pada tangan dan kakinya semakin pulih.

"Bagaimanapun, walaupun sembuh, keadaannya mungkin tidak akan kembali sepenuhnya seperti sebelum mengalami kecederaan," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Dalam perkembangan berkaitan, seekor lagi orang utan jantan yang dinamakan Bara berjaya diselamatkan daripada kawasan kebakaran di Kalimantan Tengah pada Khamis lalu.

Pegawai agensi pemuliharaan tempatan, Handi Nasoka berkata, Bara ditemukan di atas sebatang pokok di kawasan yang telah musnah dijilat api.

"Ia ditemukan di atas pokok di kawasan tanah yang hangus. Jerebu sangat tebal kerana kebakaran masih berlaku di sekeliling kawasan tersebut.

"Melihat keadaan kawasan yang baru terbakar, kami tidak berani mengambil risiko dengan menganggap ia mampu terus hidup di situ," katanya.

Anggota bomba memadamkan kebakaran hutan di kawasan Panarung Kalimantan Tengah.
Anggota bomba memadamkan kebakaran hutan di kawasan Panarung Kalimantan Tengah.

Menurut Handi, Bara berada dalam keadaan agak sihat walaupun mengalami kecederaan melecur ringan dan akan dipindahkan ke kawasan perlindungan alam semula jadi di Kalimantan Tengah.

Kebakaran hutan yang melanda Indonesia ketika ini terus memberikan tekanan terhadap populasi orang utan yang sudah berada dalam kategori sangat terancam.

Menurut Tabung Alam Sedunia (WWF), populasi orang utan di Borneo dan Sumatera dianggarkan sekitar 104,000 ekor, berbanding lebih 230,000 ekor kira-kira seabad lalu.

Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) turut memberi amaran pada bulan lalu bahawa kebakaran sedang berlaku di kawasan habitat yang menempatkan kira-kira 52 peratus populasi orang utan Borneo. - AFP

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!