Netanyahu gila kuasa? pelawa Eisenkot kongsi kerusi PM Israel

TEL AVIV - Perdana Menteri sementara Israel, Benjamin Netanyahu menawarkan jawatan Perdana Menteri secara bergilir kepada pesaing politiknya, Gadi Eisenkot dalam usaha membentuk kerajaan perpaduan ketika rundingan pembentukan kerajaan baharu berdepan kebuntuan.
Menurut laporan The Times of Israel pada Sabtu, Netanyahu mempertimbangkan untuk mengambil giliran kedua sebagai Perdana Menteri manakala Eisenkot akan mengetuai kerajaan terlebih dahulu sekiranya cadangan perkongsian kuasa itu dipersetujui.
Tawaran itu dikemukakan menerusi saluran tidak rasmi, sekali gus membolehkan Parti Likud pimpinan Netanyahu menafikan cadangan berkenaan sekiranya rundingan tidak mencapai persetujuan.
Bagaimanapun, Eisenkot masih sangsi terhadap tawaran berkenaan dan meneruskan persiapan untuk membentuk kerajaan baharu sebelum mandat yang diberikan Presiden Isaac Herzog tamat pada 6 Disember ini.
Ketua parti Yisrael Beiteinu, Avigdor Lieberman pula memberi amaran cadangan itu mungkin sekadar helah politik Netanyahu untuk melengahkan rundingan pembentukan kerajaan baharu gagal.
Lieberman mendakwa Netanyahu berkemungkinan menggunakan rundingan kerajaan perpaduan sebagai alasan untuk mencetuskan kebuntuan politik sebelum kembali mendapatkan mandat membentuk kerajaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Eisenkot menuduh Likud sengaja melengahkan rundingan meskipun kedua-dua pihak sudah mengadakan lima pertemuan dalam tempoh dua minggu.
Menurutnya, rundingan itu gagal mencapai kemajuan kerana Likud tidak mengemukakan cadangan konkrit berhubung beberapa isu utama termasuk penubuhan suruhanjaya siasatan negara bagi menyiasat kegagalan keselamatan pada 7 Oktober 2023, perubahan dalam kerajaan dan undang-undang mewajibkan golongan ultra-Ortodoks menjalani khidmat ketenteraan.
Eisenkot menegaskan pintu rundingan masih terbuka sekiranya Likud bersedia mengadakan perbincangan serius dan mencapai kompromi.
Pada masa sama, usaha Eisenkot membentuk gabungan kerajaan semakin berkembang apabila Parti Yashar pimpinannya mencapai persetujuan awal dengan parti Demokrat pimpinan Yair Golan selain menjalin kerjasama dengan Yisrael Beiteinu.
Gabungan empat parti yang merangkumi B’Yachad pimpinan bekas Perdana Menteri, Naftali Bennett dijangka memperoleh 48 daripada keseluruhan 120 kerusi Knesset iaitu kekurangan 13 kerusi untuk mencapai majoriti mudah sebanyak 61 kerusi.
Blok pimpinan Netanyahu pula menguasai 53 kerusi manakala baki 19 kerusi dimiliki parti-parti Arab.
Eisenkot kini berdepan cabaran mendapatkan sokongan tambahan daripada parti ultra-Ortodoks atau parti Arab bagi membolehkan kerajaan baharu dibentuk sebelum tempoh mandatnya berakhir.
Sekiranya gagal, mandat itu boleh dilanjutkan selama 14 hari atau proses pembentukan kerajaan berisiko beralih kepada pilihan raya baharu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

