Houthi lancar bedilan peluru berpandu ke Arab Saudi

Peningkatan serangan Houthi terhadap bandar dan infrastruktur strategik Arab Saudi mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan serantau. - Foto Reuters
Peningkatan serangan Houthi terhadap bandar dan infrastruktur strategik Arab Saudi mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan serantau. - Foto Reuters
A
A
A

RIYADH - Kumpulan Houthi dari Yaman melancarkan bedilan peluru berpandu ke beberapa bandar di Arab Saudi ketika pihak tentera negara itu giat menjalankan operasi memintas serangan berkenaan, menurut laporan media antarabangsa.

Laporan menyebut, sejumlah peluru berpandu dilancarkan ke arah wilayah Arab Saudi, manakala sistem pertahanan udara negara itu bertindak memintas ancaman tersebut.

Serpihan peluru berpandu dilaporkan jatuh di bandar Dhahran ketika usaha pemintasan sedang berlangsung.

Gabungan tentera pimpinan Arab Saudi pada masa sama mengesahkan beberapa peluru berpandu balistik dan dron yang dilancarkan Houthi berjaya dipintas dan dimusnahkan di ruang udara negara itu.

Serangan terbaharu itu berlaku ketika ketegangan di rantau Asia Barat terus memuncak, susulan konflik yang semakin meluas melibatkan Iran dan sekutunya.

Houthi sejak beberapa hari kebelakangan ini meningkatkan serangan terhadap lapangan terbang serta kemudahan tenaga Arab Saudi.

Arab Saudi turut menggandakan serangan udara ke atas sasaran di Yaman, termasuk kemudahan minyak yang didakwa digunakan bagi menyokong operasi ketenteraan Houthi.

Setakat ini, pihak berkuasa Arab Saudi belum mengumumkan jumlah korban atau kerosakan akibat serangan terbaharu itu, manakala operasi pemintasan masih diteruskan.

Peningkatan serangan Houthi terhadap bandar dan infrastruktur strategik Arab Saudi mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan serantau, khususnya selepas beberapa serangan terdahulu menyasarkan lapangan terbang dan fasiliti tenaga negara berkenaan. - Awani

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!