Pakatan diketuai Arab Saudi pintas dan musnah peluru berpandu balistik Houthi

Arab Saudi berdepan beberapa siri serangan peluru berpandu dan dron ketika permusuhan dengan kumpulan Houthi di Yemen semakin memuncak. - AFP
Arab Saudi berdepan beberapa siri serangan peluru berpandu dan dron ketika permusuhan dengan kumpulan Houthi di Yemen semakin memuncak. - AFP
A
A
A

ISTANBUL -  Pakatan diketuai Arab Saudi di Yemen pada Rabu berjaya memintas dan memusnahkan satu peluru berpandu balistik yang dilancarkan kumpulan Houthi kearah ibu negara Arab Saudi, Riyadh, sejurus selepas amaran keselamatan diaktifkan di bandar itu dan wilayah Al-Kharj yang berhampiran, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam kenyataan menerusi platform X, jurucakap pakatan itu Mejar Jeneral Turki al-Maliki berkata peluru berpandu berkenaan dilancarkan oleh kumpulan Houthi ke arah Riyadh.

Terdahulu, Pertahanan Awam Arab Saudi memaklumkan bahawa amaran telah dikeluarkan di Riyadh dan wilayah Al-Kharj, di tenggara ibu negara itu bagi memberi peringatan kepada penduduk mengenai kemungkinan bahaya.

Dalam pemberitahuan susulan, agensi itu mengumumkan bahawa ancaman di kedua-dua lokasi berkenaan telah berakhir.

Menurut saksi, bunyi empat letupan kedengaran di Riyadh selepas amaran itu dikeluarkan.

Arab Saudi berdepan beberapa siri serangan peluru berpandu dan dron ketika permusuhan dengan kumpulan Houthi di Yemen semakin memuncak.

Pihak berkuasa Arab Saudi pada awal Rabu memaklumkan bahawa empat individu cedera dan 15 rumah mengalami kerosakan kecil selepas serpihan dua peluru berpandu krus yang dipintas jatuh di Riyadh pada Selasa.

Pakatan diketuai Arab Saudi itu turut mengumumkan bahawa pihaknya memintas dan memusnahkan satu peluru berpandu krus di Al-Kharj, manakala serangan terhadap bangunan pentadbiran milik syarikat minyak negara, Aramco, mencetuskan kebakaran kecil di bandar Dhahran, di timur negara itu.

Pada Selasa, kumpulan Houthi mengancam untuk menyasarkan ibu pejabat Aramco di Dammam, lapangan terbang utama Riyadh dan loji penapis syarikat itu di ibu negara sebagai tindak balas terhadap sebarang serangan pakatan diketuai Arab Saudi ke atas kedudukan kumpulan berkenaan di Sanaa, ibu negara Yemen.

Artikel Berkaitan:

Arab Saudi mengetuai pakatan tentera yang menyokong kerajaan Yemen yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sejak 2015 bagi menentang kumpulan Houthi, yang menguasai Sanaa dan beberapa wilayah lain sejak 2014.

Ketegangan semasa bermula pada Julai selepas gencatan senjata yang dicapai pada 2022 gagal dikekalkan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!