Dipanggil gemuk, anak trauma tengok nasi

Remaja yang menjadi mangsa buli siber mengalami kemurungan dan trauma. Foto janaan AI
Remaja yang menjadi mangsa buli siber mengalami kemurungan dan trauma. Foto janaan AI
A
A
A

JOHOR BAHRU – “Anak hilang selera makan sehingga trauma tengok nasi.”

Demikian luahan seorang ibu yang mahu dikenali sebagai Naimah, 44, selepas tubuh anak perempuan tunggalnya menjadi bahan ejekan rakan sebaya di media sosial.

Menurutnya, Sarah, 18, mula menerima penghinaan selepas memuat naik gambar sambutan ulang tahun pada tahun lalu sehingga memberi kesan terhadap tabiat pemakanan dan keyakinan diri.

“Dia jadi takut nak makan apa yang saya masak apabila kawan-kawan panggil gemuk atau besar. Penat juga pujuk tetapi dia hanya makan sedikit.

“Memang kesian melihatnya, tetapi saya kena beri sokongan supaya dia tidak lebih tertekan selain pastikan Sarah terus kuat,” katanya kepada Sinar Harian.

Naimah yang bekerja sebagai eksekutif kewangan berkata, perubahan fizikal anaknya semakin ketara apabila berat badan mula susut, selain enggan keluar makan ketika waktu rehat.

Katanya, keadaan sebenar hanya diketahui selepas rakan baik Sarah memaklumkan bahawa remaja itu berasa malu untuk hadir ke sekolah.

“Pernah juga saya tanya sama ada dia mahu pindah sekolah atau tidak, tetapi Sarah tolak sebab mahu fokus kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya.

Menurut Naimah, anaknya kini menyambung pengajian peringkat asasi dalam bidang bahasa dan berada dalam lingkungan rakan-rakan yang lebih positif.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!