Enggan ke sekolah selepas gambar AI tersebar

KOTA BHARU - Hanya satu gambar palsu tersebar sudah cukup untuk meragut keceriaan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun sehingga membuatkannya mengurung diri di bilik dan mula mencari seribu alasan untuk tidak lagi menjejakkan kaki ke sekolah.
Lebih memilukan, gambar itu bukan sekadar diubah suai, sebaliknya menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sehingga memaparkan dia seolah-olah berpelukan dan bercium dengan seorang rakan perempuan.
Ibu tunggal kepada enam orang anak berusia 13 hingga 32 tahun yang ingin dikenali sebagai Zahrah Ismail, 55, berkata, gurauan itu meninggalkan luka yang tidak kelihatan, namun kesannya jelas terpancar pada perubahan tingkah laku anak bongsunya.
"Dia mula memberikan macam-macam alasan untuk tidak ke sekolah. Selepas kejadian itu, dia mula menyendiri, banyak menghabiskan masa di dalam bilik dan mudah sensitif," katanya.
Zahrah memberitahu, pengalaman berdepan isu buli bukan perkara baharu apabila empat daripada enam anaknya pernah menjadi mangsa buli ketika di sekolah rendah dan menengah.
Ujarnya, tiga anak pernah berdepan buli secara lisan dan fizikal, termasuk diejek, manakala anak keempat pernah berdepan tindakan rakan yang menggunting tudung serta pakaian.
"Anak ketiga pula pernah menjadi mangsa 'body shaming' ketika berusia 13 tahun di sebuah sekolah berasrama penuh sehingga perlu dirujuk kepada pakar psikiatri.
"Dengan sokongan pihak sekolah, pakar serta saya sendiri yang sentiasa memberi semangat, dia berjaya melalui fasa itu dan kini berusia 17 tahun menunggu untuk menduduki SPM," katanya.
Menurut Zahrah, langkah pertama yang dilakukan ialah mendengar luahan anak tanpa menghakimi sebelum memberikan kata-kata semangat dan motivasi.
"Selain memberikan fokus kepada emosi anak, saya memaklumkan perkara itu kepada guru kelas dan berbincang dengan pihak sekolah serta ibu bapa yang terlibat supaya nasib anak terbela," katanya.
Bagi Zahrah, kekuatan emosi anak menjadi benteng paling penting kerana tanpa sokongan, mangsa boleh terus memendam perasaan sehingga menjejaskan kehidupan dan persekolahan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

