Remaja ambil pil penenang akibat buli siber

Raja Shamri (gambar kecil) mendedahkan terdapat remaja yang mengambil pil penenang bagi meredakan tekanan emosi selepas menjadi mangsa buli siber.
Raja Shamri (gambar kecil) mendedahkan terdapat remaja yang mengambil pil penenang bagi meredakan tekanan emosi selepas menjadi mangsa buli siber.
A
A
A

KUANTAN – Penceramah motivasi mendedahkan terdapat remaja yang mengambil pil penenang bagi meredakan tekanan emosi selepas menjadi mangsa buli siber.

Raja Shamri Raja Husin berkata, perkara tersebut diketahui hasil pengakuan mangsa selain perkongsian doktor, kaunselor serta peserta program motivasi yang pernah dikendalikannya.

Beliau yang pernah menjadi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah menengah turut mempunyai pengalaman membantu pelajar berdepan masalah keluarga serta gangguan dalam talian.

“Berdasarkan pengalaman sendiri, ramai pelajar tampil secara peribadi meluahkan tekanan emosi yang dihadapi akibat buli siber kebelakangan ini.

“Keadaan itu menunjukkan betapa serius kesannya apabila mangsa berdepan tekanan berpanjangan sehingga mencari cara untuk mengurangkan keresahan dan beban perasaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Raja Shamri, perubahan ketara dapat dilihat menerusi program motivasi yang dikendalikannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, jika dahulu peserta lebih banyak bertanyakan teknik, tip dan rahsia kejayaan, kini semakin ramai mendekatinya selepas program untuk berkongsi masalah secara peribadi.

“Kadang-kadang selepas ceramah di sekolah atau institusi pendidikan, ada pelajar datang atau menghubungi saya untuk meluahkan perasaan.

“Dari situ kita tahu ada yang berdepan tekanan akibat dihina kerana rupa paras, pencapaian akademik, penyebaran gambar mengaibkan, masalah peribadi serta ugutan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Beliau berkata, perkara yang dianggap remeh oleh pelaku boleh meninggalkan kesan besar apabila kelemahan atau hal peribadi seseorang dijadikan bahan untuk memalukan mangsa.

“Bagi saya, masalah ini serius apabila ada remaja mengambil pil penenang kerana tekanan emosi berkaitan buli siber.

“Kita bimbang mereka mengambil tindakan sendiri kerana rata-rata pelajar yang ditemui mengaku tidak pernah bercerita kepada sesiapa termasuk ibu bapa kerana takut dimarahi,” ujarnya.

Raja Shamri yang juga pengasas Yayasan Raja Shamri dan The 3rd Force berkata, pendekatan terbuka serta mesra membantu remaja berasa lebih selamat untuk berkongsi masalah tanpa takut dihukum atau dipersalahkan.

Menurutnya, pengalaman lebih 20 tahun dalam latihan minda positif dan ceramah motivasi menunjukkan isu berkenaan tidak wajar dilihat semata-mata sebagai masalah penggunaan media sosial.

“Masalah sebenar bukan teknologi, tetapi manusia di belakangnya yang guna teknologi untuk menyakiti orang lain,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh keselamatan digital masyarakat, khususnya golongan remaja dan pelajar, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) giat melaksanakan Kempen Internet Selamat.

Kempen tersebut memberi penekanan kepada aspek perlindungan data peribadi, keselamatan akaun dalam talian, pengesanan penipuan siber serta pengendalian isu-isu seperti buli siber.

Melalui pelbagai program pendidikan, ceramah, bengkel dan aktiviti kesedaran di institusi pendidikan, kempen itu turut menekankan sikap menghormati hak serta perasaan orang lain ketika berinteraksi dalam talian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!