Rakyat Myanmar terlibat jenayah wajib jalani hukuman sebelum dihantar pulang

SUNGAI PETANI - Rakyat Myammar yang dikenal pasti mempunyai rekod jenayah tidak akan dihantar pulang ke negara asal serta-merta sebaliknya diuruskan mengikut undang-undang Malaysia terlebih dahulu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, individu terbabit akan diuruskan mengikut undang-undang negara ini sebelum sebarang proses penghantaran pulang dipertimbangkan.
"Sekiranya mereka ada rekod jenayah kita urus cara kitalah. Kalau rekod kita mendapati dia terlibat pelanggaran undang-undang, kita akan uruskan secara undang-undang dululah. Itu tidaklah segera penghantaran pulang.
"Jadi, yang itu disampaikan oleh Presiden Myanmar. Caveat-nya adalah kalau ada yang terkait dengan perbuatan jenayah mengikut undang-undang kita, itu diuruskan cara kita.
"Saya ingat adillah yang itu. Kita ada undang-undang negara kita, kita akan lakukan seperti itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke Townhall Madani Bersama Menteri Dalam Negeri di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, Kerajaan Myanmar memberi jaminan keselamatan terhadap warganegaranya yang dihantar pulang dari Malaysia.
Menurutnya, penghantaran pulang itu dibuat berdasarkan komitmen asal Myanmar menerima semula 5,000 warganegaranya hasil rundingan Perdana Menteri, Menteri Luar dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan pihak negara berkenaan.
“Jadi, dia setuju 5,000. Kita dah kenal pasti 5,000 dan kita dah proses 1,400 dan kita hantar balik dengan kapal laut dia...menyusul nanti lagi 3,600," katanya.
Pada 8 Oktober 2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Myanmar bersedia memudahkan proses penghantaran pulang warganya secara besar-besaran dan menanggung sendiri kos berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


