Kejadian tembakan berhampiran Zoo Johor: Suspek ada 16 rekod jenayah

JOHOR BAHRU - Kejadian tembakan di Jalan Gertak Merah berhampiran Zoo Johor di sini semalam membabitkan anggota polis melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta dipandu secara berbahaya oleh seorang lelaki yang mempunyai 16 rekod jenayah lampau.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kereta Honda City dinaiki suspek berusia 28 tahun dan rakan wanita berusia 29 tahun itu dikejar polis sejauh satu kilometer sebelum insiden tembakan berlaku.
"Polis melepaskan dua das tembakan selepas kereta itu merempuh beberapa kenderaan awam dengan satu tembakan terkena bahagian kepala suspek lelaki.
"Suspek (dan rakan) masih berada di dalam kereta ketika tembakan dilepaskan dan tidak bertindak agresif,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini pada Jumaat.
Ab Rahaman berkata, pemeriksaan lanjut di dalam kereta itu menemukan tujuh peket plastik mengandungi 373.80 gram serbuk ekstasi dan 17 katrij vape mengandungi 6.8 mililiter cecair ketamin.
Beliau berkata, suspek mempunyai 16 rekod jenayah lampau termasuk dadah, samun, rogol dan kecurian selain berstatus dikehendaki bagi kesalahan dadah di Seri Alam.
"Suspek wanita pula mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.
"Ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Ab Rahaman berkata, suspek yang terkena tembakan kini stabil dan sedang dirawat di Hospital Sultanah Aminah di sini.
Beliau berkata, polis akan memohon perintah tahanan reman terhadap suspek wanita hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
