Klinik Kesihatan Bandar Sungai Petani baharu mampu atasi kesesakan HSAH


SUNGAI PETANI - Pembukaan Klinik Kesihatan (Jenis 2) Bandar Sungai Petani baharu bernilai RM38.73 juta dijangka membantu mengurai kesesakan pesakit luar di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini terutama bagi kes ringan atau Zon Hijau.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, fasiliti itu mampu menyantuni kira-kira 500,000 penduduk sekitar Daerah Kuala Muda dengan kapasiti kedatangan sehingga 1,200 pesakit sehari.
“Pembukaan klinik berkapasiti besar ini amat kritikal dalam strategi kita mengurai kesesakan pesakit luar di HSAH. Apabila kes-kes ringan atau Zon Hijau diserap sepenuhnya ke sini, HSAH kelak boleh memberikan tumpuan optimum kepada rawatan kepakaran, kecemasan, dan trauma yang lebih kompleks,” katanya dalam kenyataan menerusi media sosial Facebook.
Terdahulu, beliau menerima penyerahan rasmi projek klinik berkenaan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan peruntukan khas RM398,800 bagi tujuan pembaikan, naik taraf fasiliti serta perolehan aset perubatan dan bukan perubatan.
Katanya, cadangan pembinaan ruang parkir bertingkat berkapasiti 150 kenderaan turut diarahkan untuk diteliti segera bagi menampung keperluan pengunjung susulan unjuran kedatangan pesakit yang tinggi.
“Menjelang operasi berfasa yang disasarkan bermula 11 Oktober ini, saya telah memberi arahan tegas agar kesiapsiagaan klinik dan tatakelola aset (termasuk aduan kerosakan di bawah Defect Liability Period) diuruskan dengan cekap tanpa kompromi.
“Kejayaan projek ini tidak diukur pada nilai jutaan ringgit atau cantiknya bangunan ini. Ia diukur pada seberapa cepat kesakitan pesakit dirawat dan setulus mana layanan yang diberikan. Biar semoden mana pun fasiliti kita, ia wajib dihidupkan dengan roh ihsan, empati, dan profesionalisme,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

