Warga asing kahwin Melayu tidak automatik jadi Bumiputera - Saifuddin

KUALA LUMPUR - Perkahwinan seseorang warga asing beragama Islam dengan orang Melayu Islam di negara ini tidak akan mengubah status keturunan asal mereka.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak akan membuat penentuan keturunan seseorang warga asing berdasarkan perkahwinan itu.
“Di samping itu, penentuan sama ada seseorang individu itu berstatus Bumiputera serta kelayakan untuk menikmati sesuatu hak atau keistimewaan yang diperuntukkan kepada Bumiputera adalah di luar bidang kuasa JPN.
“Ia kerana perkara tersebut tertakluk kepada undang-undang, dasar dan syarat yang ditetapkan oleh agensi atau pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang dimuat naik di portal rasmi Parlimen.
Saifuddin berkata demikian menjawab pertanyaan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai sama ada warganegara asing beragama Islam yang berkahwin dengan warganegara Malaysia berbangsa Melayu boleh dianggap sebagai Bumiputera.
Hok Liong juga bertanya sama ada mereka layak atau tidak untuk menikmati hak atau keistimewaan yang diberikan kepada Bumiputera serta syarat yang perlu dipenuhi untuk mendapat kelayakan tersebut.
Bagaimanapun, Saifuddin memaklumkan, sekiranya kelahiran berlaku hasil daripada perkahwinan yang sah di sisi undang-undang Malaysia antara warganegara asing beragama Islam dengan warganegara Malaysia berketurunan Melayu, ibu atau bapa kanak-kanak boleh memilih sama ada kanak-kanak tersebut didaftarkan mengikut keturunan ibu atau bapa.
“(Jadi boleh pilih) sama ada berketurunan Melayu atau mengikut keturunan warganegara asing berkenaan,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

