Belanjawan 2027: Rakyat mahu rasa, bukan sekadar dengar

ESOK, ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan MADANI Kelima (Belanjawan 2027), fokus utama yang paling dituntut oleh rakyat Malaysia ialah menangani tekanan kos sara hidup dan memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih baik.
Bagi rakyat biasa, istilah pertumbuhan ekonomi, pelaburan strategik, transformasi digital dan kecerdasan buatan mungkin kedengaran hebat. Namun di hujung bulan, persoalannya tetap sama.
Cukupkah gaji? Mampukah membayar sewa atau ansuran rumah? Berapa harga barang dapur? Mampukah anak terus belajar? Dan selepas semua bil dibayar, masih adakah wang untuk disimpan? Itulah ukuran paling mudah terhadap sesebuah belanjawan.
Rakyat bukan tidak faham kerajaan perlu mengurus ekonomi negara dalam keadaan mencabar. Mereka juga sedar subsidi perlu disasarkan dan negara tidak boleh selama-lamanya berbelanja tanpa mengambil kira kemampuan kewangan.
Tetapi rakyat mahu memastikan setiap perubahan dasar tidak akhirnya menyebabkan beban berpindah ke bahu mereka. Justeru, perkara paling dinantikan ialah bagaimana kerajaan menangani kos sara hidup.
Bantuan seperti Bantuan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sememangnya membantu. Namun, persoalan lebih besar ialah sama ada jumlah bantuan itu benar-benar bergerak seiring dengan peningkatan kos kehidupan.
Bantuan tunai penting, tetapi ia tidak boleh menjadi jawapan kepada semua masalah. Rakyat juga mahu harga barang keperluan lebih terkawal, pasaran lebih kompetitif dan tindakan lebih berkesan terhadap pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga.
Dalam masa sama, rakyat mahu melihat satu lagi perkara yang lebih penting iaitu gaji yang mampu mengejar kos kehidupan. Pertumbuhan ekonomi tidak banyak ertinya jika keuntungan meningkat tetapi pendapatan pekerja terus ketinggalan.
Isu gaji minimum merupakan salah satu perkara yang paling dinanti-nantikan dan menjadi pertembungan tumpuan utama antara pekerja dan majikan. Kerajaan dijangka mengumumkan perincian mengenai peningkatan kadar gaji minimum semasa daripada RM1,700 sebulan kepada RM2,000 sebulan.
Pelaburan bernilai berbilion ringgit juga perlu diterjemahkan kepada pekerjaan berkualiti dan bergaji lebih tinggi. Program seperti GEAR-uP, TVET dan K-Youth hanya benar-benar memberi makna apabila anak muda bukan sekadar mendapat pekerjaan, tetapi mempunyai laluan kerjaya dan peningkatan pendapatan yang jelas.
Kerana pekerjaan bukan sekadar soal ada kerja. Persoalannya, adakah kerja itu mampu memberikan kehidupan yang lebih baik? Golongan berpendapatan rendah pula memerlukan perhatian yang lebih bersasar.
Kemudahan mikro kredit yang mudah, telus dan tidak membebankan boleh menjadi antara jalan membantu mereka yang mahu memulakan atau mengembangkan perniagaan kecil tanpa terpaksa bergantung kepada pinjaman tidak berlesen.
Bagi warga emas dan orang kurang upaya (OKU), ukuran kemajuan negara pula bukan semata-mata berdasarkan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ia turut diukur melalui sejauh mana negara memastikan mereka dapat menjalani kehidupan dengan bermaruah.
Begitu juga dengan peniaga kecil dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Mereka bukan sekadar mahukan bantuan modal. Mereka mahukan proses yang lebih mudah, kurang birokrasi, akses pembiayaan yang munasabah serta peluang untuk bersaing dalam ekonomi yang semakin digital.
Di luar bandar pula, tuntutannya jauh lebih asas. Jalan yang baik. Bekalan air bersih. Elektrik yang stabil. Internet yang tidak putus-putus. Bagi rakyat di Sabah dan Sarawak serta kawasan pedalaman, perkara yang dianggap biasa di bandar masih menjadi perjuangan harian.
Sebab itu Belanjawan 2027 perlu memastikan pembangunan tidak hanya tertumpu kepada perkara yang mudah dipamerkan sebagai pencapaian, tetapi turut menyelesaikan masalah yang mungkin tidak glamor tetapi sangat dirasai rakyat.
Dalam semua ini, satu perkara tidak boleh dilupakan. Rakyat tidak menilai belanjawan berdasarkan saiz angka semata-mata. Mereka menilainya berdasarkan perubahan yang berlaku selepas angka itu diumumkan.
Jika bantuan bertambah tetapi harga barang terus meningkat, rakyat tetap terasa tertekan. Jika pelaburan bertambah tetapi pekerjaan yang diwujudkan masih bergaji rendah, rakyat tetap tertanya-tanya.
Jika ekonomi berkembang tetapi anak muda masih sukar membeli rumah, angka pertumbuhan tidak banyak mengubah realiti. Dan jika pembangunan rancak di bandar tetapi jalan, air dan internet di luar bandar masih bermasalah, kita perlu bertanya siapa sebenarnya yang menikmati kemajuan itu.
Belanjawan 2027 akhirnya bukan sekadar dokumen kewangan kerajaan. Ia adalah janji tentang bagaimana hasil negara akan diterjemahkan kepada kehidupan rakyat.
Rakyat tidak meminta semuanya diberikan percuma. Mereka cuma mahu ruang untuk bernafas, peluang untuk maju dan keyakinan bahawa bekerja keras masih mampu memberikan kehidupan yang lebih baik.
Esok, mungkin akan diumumkan pelbagai angka besar. Tetapi selepas tepukan reda dan tajuk berita bertukar, rakyat akan kembali ke pasar, kedai makan, pejabat, kilang, kampung dan jalan raya.
Di situlah Belanjawan 2027 akan benar-benar diuji. Bukan pada berapa banyak yang diumumkan, tetapi berapa banyak yang akhirnya dirasai!
*** Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

