Sijil kelahiran lama masih sah, cabutan baharu boleh diperoleh pada RM5 - KP JPN

A
A
A

GUA MUSANG - Sijil kelahiran lama, termasuk yang dikeluarkan dalam bentuk kertas dan tulisan tangan masih sah digunakan dan tidak perlu ditukar kepada format baharu, kata Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin mendapatkan sijil kelahiran dalam format baharu boleh membuat permohonan cabutan di mana-mana pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan bayaran RM5.

"Sijil lahir tidak pernah tak sah, sama ada generasi lama ataupun generasi baharu,” katanya pada sidang media selepas Program Literasi Pendaftaran sempena sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-78 peringkat Kelantan di Pos Balar di sini pada Isnin.

Badrul Hisham berkata, sijil kelahiran yang dikeluarkan sejak dahulu masih boleh digunakan, termasuk dokumen lama berbentuk kad kertas yang mempunyai tulisan tangan.

Beliau berkata, pemilik dokumen berkenaan boleh mendapatkan cabutan sijil kelahiran dalam format baharu sekiranya memerlukan, dengan proses permohonan boleh diselesaikan dalam tempoh kurang lima minit.

Beliau berkata, kemudahan itu membolehkan orang ramai mendapatkan dokumen dalam format semasa tanpa perlu bimbang bahawa sijil kelahiran lama mereka tidak lagi sah.

Badrul Hisham berkata, dokumentasi kelahiran merupakan asas penting bagi memastikan setiap individu mempunyai identiti yang sah di sisi undang-undang, sekali gus membolehkan mereka menikmati pelbagai hak dan kemudahan sebagai rakyat Malaysia.

Beliau berkata, pendaftaran kelahiran dan pemilikan dokumen pengenalan diri perlu diberi perhatian bagi mengelakkan seseorang tercicir daripada sistem dokumentasi negara.

"JPN sentiasa berusaha mendekati masyarakat, termasuk komuniti Orang Asli di kawasan pedalaman melalui program turun padang dan kerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan mereka mendapat akses kepada perkhidmatan pendaftaran dan dokumentasi,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!