Ibu, bayi maut nahas empat kenderaan di Gua Musang

GUA MUSANG – Seorang ibu dan bayi perempuan maut dalam kemalangan membabitkan tiga kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah motosikal di Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kampung Paloh Tiga di sini pada Ahad.
Kemalangan melibatkan sembilan mangsa itu mengakibatkan seorang pemandu kereta turut cedera parah selepas tersepit dalam kenderaan, sebelum dikeluarkan orang awam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Pegawai Bomba Kanan I, Cik Razak Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 5.10 petang.
Menurut beliau, seramai 10 anggota bomba bersama sebuah jentera dari BBP Gua Musang digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.

"Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan dua Perodua Myvi G3, sebuah Perodua Myvi SE dan motosikal Modenas.
"Terdapat seorang mangsa yang memandu Perodua Myvi G3 tersepit, namun telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba," katanya.
Ujar beliau, kemalangan itu melibatkan sembilan mangsa termasuk dua yang disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah.
Tambahnya, mangsa lain turut mengalami kecederaan dan telah diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
"Operasi berkenaan turut melibatkan bantuan dua ambulans KKM dan sebuah kenderaan polis.
"Pihak kami telah menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan serta tumpahan minyak di lokasi kejadian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

