Lubang benam: JKR pasang jambatan Bailey di Jalan Gua Musang-Kota Bharu

GUA MUSANG - Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memasang Jambatan Bailey di Jalan Gua Musang-Kota Bharu (FT08) berhampiran Taman Rekreasi Etnobotani Kesedar, di sini yang ditutup akibat kejadian lubang benam pada Sabtu.
JKR memaklumkan, pemasangan itu bertujuan memulihkan akses di kawasan berkenaan.
"Kerja pemasangan jambatan itu dijangka bermula pada 14 Oktober ini dan disiapkan dalam tempoh kira-kira seminggu," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook JKR Gua Musang Kelantan pada Ahad.
Terdahulu media melaporkan kejadian lubang benam di FT08 jajaran projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C di Jalan Gua Musang-Kota Bharu berhampiran Taman Rekreasi Kesedar, di sini menyebabkan jalan itu ditutup kepada semua kenderaan pada Sabtu.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Gua Musang dan Roadcare (M) Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan lokasi kejadian membabitkan laluan FT08 di Seksyen 205.556 hingga 205.564 di jajaran projek LTU Pakej 3B dan 3C.
Menurut kenyataan itu, bagaimanapun kerja-kerja itu tertakluk kepada kestabilan tanah serta keadaan keselamatan di tapak.
Katanya, JKR akan terus memantau keadaan di lokasi dan mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang pelaksanaan kerja.
JKR menerusi kenyataan itu berkata, orang ramai turut diminta memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan penutupan jalan serta menggunakan laluan alternatif yang disediakan.
"JKR memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi pengguna jalan raya akibat penutupan berkenaan.
"Jalan ini ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan susulan kejadian lubang benam kira-kira jam 9.05 pagi pada Sabtu," katanya.
Menurut JKR, penutupan bermula Sabtu sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
"Sehubungan itu, pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu melalui Gua Musang dan arah bertentangan dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui FT2747, Jalan Pulai-Bandar Baru Gua Musang.
"Pengguna juga diminta mematuhi arahan serta papan tanda keselamatan yang dipasang di lokasi terjejas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

