Kuarantin rakyat pulang dari luar negara tepat: KP Kesihatan

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semasa hadir ke sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semasa hadir ke sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Tindakan kerajaan mewajibkan semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dikenakan kuarantin wajib adalah bertepatan dalam membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19) melibatkan kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan sejumlah kes positif wabak itu yang melibatkan rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara.

"Perkara ini telah dijangka, memandangkan lebih daripada 180 buah negara di seluruh dunia telah terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Justeru, tindakan mewajibkan semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara untuk ditempatkan di stesen kuarantin di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah bertepatan," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, dalam tempoh lebih dua minggu sejak 3 April lalu, seramai 12,160 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantinkan.

Katanya, daripada jumlah tersebut, setakat ini 7,910 individu telah disampel dengan 95 kes positif Covid-19 dikesan.

"Tindakan proaktif ini telah menyaksikan peningkatan jumlah kes yang dilaporkan di negeri di mana mereka dikuarantinkan.

"Misalnya peningkatan 37 kes di Melaka, 32 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga kes di Sarawak, tiga kes di Johor, dan dua kes di Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Kes-kes positif ini telah diasingkan dan diberi rawatan di hospital," katanya.