Dua lelaki disyaki curi kabel ditahan selepas kereta terbabas

KUALA LUMPUR - Polis menahan dua lelaki selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang ketika cuba melarikan diri daripada polis di Taman Sri Watan, Ampang, Selangor, semalam, selepas disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya. Asisten komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, penahanan itu dibuat susulan maklumat orang awam yang diterima pada kira-kira jam 5.53 pagi.
"Ketika kereta peronda polis tiba di lokasi, didapati sebuah kereta jenis Perodua Aruz berwarna biru tanpa nombor pendaftaran berada di tepi Jalan Watan 8 sebelum cuba melarikan diri.
"Polis bertindak mengejar kereta itu sebelum terbabas ke dalam longkang dan dua suspek yang berada di dalamnya ditahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186, Seksyen 379, Seksyen 431A dan Seksyen 124K Kanun Keseksaan serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, dua video yang memaparkan polis menahan suspek di kawasan belakang deretan kedai tular di platform media sosial Threads. Video itu turut memaparkan kabel yang dipercayai cuba dicuri oleh suspek. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
