Jerebu: Semua sekolah di Johor ditutup lima hari lagi

Dr Muhammad Naqib
Dr Muhammad Naqib
A
A
A

JOHOR BAHRU - Semua sekolah dan institusi pendidikan di seluruh Johor ditutup selama lima hari lagi bermula Isnin ini hingga Jumaat depan susulan keadaan jerebu yang masih melanda negeri ini.

Exco Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, keputusan melanjutkan tempoh penutupan sekolah itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa pencemaran udara serta risiko terhadap kesihatan murid dan warga pendidikan.

“Keputusan ini dibuat dengan menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan seluruh Bangsa Johor.

“Keutamaan itu khususnya melibatkan murid-murid serta warga pendidikan susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara yang melanda negeri ini,” katanya dalam kenyataan pada malam Sabtu.

Sebelum ini, semua sekolah di Johor ditutup selama dua hari pada 8 dan 9 Oktober lalu susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara di seluruh negeri.

Penutupan itu membabitkan 1,198 sekolah dengan seramai 617,258 murid dan pelajar, termasuk sekolah di bawah pentadbiran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta sekolah agama kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Dr Muhammad Naqib memberitahu, antara faktor yang diambil kira ialah jangkaan pergerakan angin dari arah Kalimantan pada 13 hingga 15 Oktober ini yang berpotensi membawa pencemaran udara rentas sempadan dan menjejaskan kualiti udara di Johor..

“Selain itu, risiko peningkatan dan pengumpulan kepekatan partikel halus dalam atmosfera serta keadaan pergerakan udara yang perlahan berpotensi menyebabkan jerebu berlarutan untuk tempoh lebih panjang.

“Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dilaporkan berada sekitar 170 hingga 180 tanpa perubahan ketara turut menunjukkan kualiti udara masih dalam kategori tidak sihat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, penilaian risiko kesihatan, khususnya kemungkinan gangguan pernafasan dalam kalangan kanak-kanak, murid dan warga pendidikan yang terdedah kepada pencemaran udara, turut menjadi pertimbangan dalam keputusan berkenaan.

Katanya, langkah pencegahan awal perlu diutamakan bagi mengurangkan risiko pendedahan berpanjangan kepada udara tercemar, selain memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat sebelum sesi persekolahan secara bersemuka diteruskan.

"Bagi sekolah yang dijadualkan melaksanakan pentaksiran atau penilaian akademik sepanjang tempoh penutupan, semua urusan berkaitan akan ditangguhkan dan dijadualkan semula mengikut ketetapan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) serta pihak berkuasa pendidikan berkaitan.

“Dalam masa sama, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan mengikut kesesuaian bagi memastikan kesinambungan proses pembelajaran murid tidak terjejas,” katanya.

Sementara itu, jelasnya kerajaan negeri dengan kerjasama agensi berkaitan akan terus mempergiat pemantauan terhadap perkembangan bacaan IPU dari semasa ke semasa.

"Sebarang keputusan lanjut berhubung pengoperasian semula institusi pendidikan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi selepas mengambil kira perkembangan kualiti udara serta penilaian keselamatan dan kesihatan semasa.

“Orang ramai juga diminta mematuhi nasihat kesihatan yang dikeluarkan pihak berkuasa serta mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi bagi mengelakkan sebarang kekeliruan,” katanya lagi.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!