Jerebu: Semua institusi pendidikan di Kedah beroperasi seperti biasa esok

ALOR SETAR - Semua institusi pendidikan di Kedah akan beroperasi seperti biasa esok berikutan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di semua kawasan pemantauan di negeri ini direkodkan di bawah paras 100 hingga 2 petang, hari ini.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dalam satu kenyataan memaklumkan, bagaimanapun ia tertakluk kepada sebarang arahan terbaharu daripada Kementerian Pendidikan (KPM) dan pihak berkuasa berkaitan.
"JPN Kedah menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung kepentingan memelihara keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.
"Bacaan IPU berada pada di bawah paras 100, jadi semua institusi pendidikan di Kedah akan beroperasi seperti biasa," menurut kenyataan itu.
Menurut JPN Kedah, pihak pentadbir sekolah dan institusi pendidikan diingatkan supaya sentiasa peka terhadap perkembangan semasa, memantau bacaan IPU melalui saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidikan sentiasa terpelihara.
"Pihak sekolah juga hendaklah sentiasa memberikan perhatian kepada murid dan warga pendidikan yang mengalami masalah kesihatan, khususnya yang sensitif terhadap keadaan kualiti udara, serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat murid atau warga pendidikan yang menunjukkan gejala tidak sihat.
"JPN Kedah akan terus memantau perkembangan situasi jerebu dari semasa ke semasa dan menyelaras tindakan bersama semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta institusi pendidikan berdasarkan bacaan semasa dan arahan pihak berkuasa," menurut kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
