Belanjawan 2027: Peneroka mahu perincian peruntukan RM1.26 bilion Felda

KUANTAN - Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mahu perincian jelas mengenai penggunaan peruntukan RM1.26 bilion yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 bagi memastikan keperluan mereka di tanah rancangan diberi perhatian.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, pelaksanaan peruntukan itu perlu memberi manfaat kepada peneroka, khususnya dalam menangani bebanan hutang, membaiki infrastruktur asas serta membuka peluang menjana pendapatan tambahan.
Menurutnya, angka purata pendapatan bersih peneroka sebanyak RM3,800 sebulan yang diumumkan kerajaan perlu dilihat bersama komitmen kewangan yang ditanggung mereka, termasuk bayaran hutang bulanan.
“Kita mengalu-alukan peruntukan tersebut, tetapi apa yang paling penting ialah pelaksanaannya di tanah rancangan.
"Peneroka amat berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pelepasan atau subsidi sekurang-kurangnya 40 hingga 50 peratus ke atas jumlah hutang semasa peneroka.
“Langkah ini penting bagi memastikan angka pendapatan RM3,800 itu benar-benar dinikmati untuk sara hidup keluarga, bukannya terhakis oleh potongan hutang,” katanya pada Sabtu.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan Madani 2027 mengumumkan peruntukan RM1.26 bilion bagi 2027 untuk memperkukuh kedudukan kewangan Felda, membiayai penyelenggaraan jalan dan menyediakan perumahan generasi Felda.
Anwar turut memaklumkan purata pendapatan bersih peneroka meningkat daripada RM2,272 sebulan pada 2023 kepada RM3,800 pada 2026.
Mengulas lanjut, Razak berkata, peneroka perlu diberi peluang meneroka sumber pendapatan lain bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil kelapa sawit yang terdedah kepada ketidaktentuan harga komoditi.
Beliau turut mencadangkan sebahagian daripada peruntukan berkenaan dimanfaatkan untuk membangunkan aktiviti ekonomi tambahan di tanah rancangan, termasuk pertanian, penternakan komersial, industri kecil dan sederhana (IKS) serta pelancongan komuniti.
“Kerajaan perlu menyalurkan dana untuk projek pertanian sampingan, penternakan komersial, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), serta pelancongan komuniti di tanah rancangan.
“Malah, penggunaan teknologi pintar dan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan ladang juga perlu diperkenalkan segera untuk membantu meningkatkan hasil pertanian dan kecekapan operasi,” jelasnya.
Beliau berharap peruntukan berkenaan dapat disalurkan secara terancang supaya manfaatnya benar-benar dirasai masyarakat Felda, termasuk di Wilayah Jengka.
“Kita berharap pelaksanaan segala inisiatif ini dapat dipercepatkan, terutama penyelenggaraan jalan dan penyediaan perumahan yang menjadi antara keperluan utama warga peneroka.
“Pada masa sama, kita mahu generasi baharu terus melihat Felda sebagai tempat membina masa depan dan bukan sekadar tanah rancangan peninggalan generasi terdahulu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

