Belanjawan 2027: HKL naik taraf kemudahan, laksana sistem kesihatan digital

KUALA LUMPUR - Peningkatan peruntukan sektor kesihatan menerusi Belanjawan 2027 dilihat mampu menjadi pemangkin kepada usaha Hospital Kuala Lumpur (HKL) menaik taraf infrastrukturnya serta mempercepat peralihan ke arah hospital digital sepenuhnya.
Pengarah HKL, Datuk Dr Harikrishna K R Nair berkata, peruntukan berkenaan akan membantu hospital berusia 156 tahun itu memodenkan sistem elektrik dan kemudahan lain, selain memperkukuh infrastruktur teknologi maklumat.
"Kami amat gembira kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meningkatkan peruntukan kesihatan sebanyak RM1.2 bilion berbanding tahun lepas. Ini akan membantu kami menambah baik kemudahan untuk pesakit. HKL sudah berusia 156 tahun, jadi sistem elektrik dan infrastruktur lain sudah berbeza.
"Kami sedang menggantikan lif serta menaik taraf kemudahan lain dan peruntukan tambahan ini akan membantu kami menaik taraf sebahagian besar sistem. Kami merancang untuk melaksanakan Sistem Maklumat Kesihatan (HIS) sepenuhnya, yang bermakna operasi hospital akan beralih kepada sistem berkomputer sepenuhnya,” katanya kepada Bernama.
Beliau ditemui pada Program Komuniti dan Larian Santai Gaya Hidup Sihat bersempena dengan Hari Jantung Sedunia 2026 di Taman Botani Perdana di sini pada Sabtu.
Dr Harikrishna berkata, HKL merupakan antara 16 hospital yang dijadual melaksanakan HIS tahun depan, dengan peruntukan RM200 juta disediakan bagi inisiatif berkenaan.
Beliau berkata, sistem itu akan membolehkan pakar daripada pelbagai disiplin mengakses maklumat perubatan pesakit secara elektronik, sekali gus melancarkan operasi hospital dan mengurangkan keperluan pesakit memberikan maklumat sama berulang kali ketika mendapatkan rawatan.
"Ini akan memudahkan urusan dan menambah baik pengurusan kakitangan. Pesakit juga akan mendapat manfaat kerana mereka tidak perlu menjawab soalan sama pada setiap peringkat rawatan memandangkan maklumat mereka boleh diakses oleh pakar daripada pelbagai disiplin,” katanya.
Mengenai usaha menangani penyakit tidak berjangkit (NCD), Dr Harikrishna berkata, peruntukan itu penting kerana turut membolehkan HKL memperoleh ubat-ubatan baharu serta melaksanakan lebih banyak prosedur perubatan, sekali gus meningkatkan akses pesakit kepada rawatan.
"Dengan peruntukan mencukupi, kami boleh mendapatkan lebih banyak ubat-ubatan berkenaan dan menjalankan lebih banyak prosedur. Kami juga menyumber luar beberapa kes yang lebih mudah menerusi Skim Perubatan Madani yang dikendalikan ProtectHealth dan peruntukan bagi tujuan itu turut ditingkatkan,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan peruntukan bagi perkhidmatan penyumberan luar dapat membantu memendekkan tempoh menunggu, sekali gus membolehkan pesakit menerima rawatan lebih awal serta mengurangkan risiko komplikasi.
"Perluasan perkhidmatan penyumberan luar akan membantu memendekkan tempoh menunggu, mengurangkan risiko komplikasi serta meningkatkan akses pesakit kepada ubat-ubatan dan rawatan lain.
"Langkah ini bukan sahaja memberi manfaat kepada HKL, malah Kementerian Kesihatan (KKM) secara keseluruhan,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat semalam mengumumkan peruntukan RM47.7 bilion kepada KKM, meningkat daripada RM46.5 bilion tahun lepas.
Beliau turut mengumumkan RM1.2 bilion bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan hospital serta klinik kerajaan termasuk menaik taraf baki klinik daif.
Selain itu, peruntukan bagi penyumberan luar pesakit ke hospital lain ditingkatkan kepada RM200 juta, di samping memperluas kerjasama yang membolehkan sektor kesihatan awam menggunakan kemudahan kesihatan swasta. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
