Belanjawan 2027: Jalan raya, sekolah daif jadi tumpuan pembangunan pedalaman Sabah

KOTA KINABALU - Peruntukan sebanyak RM3.3 bilion bagi projek jalan raya di Sabah dan Sarawak serta hampir RM1.3 bilion untuk menaik taraf sekolah daif dilihat antara langkah penting memperkukuh pembangunan kawasan pedalaman Sabah menerusi Belanjawan 2027.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup merangkap Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pelaksanaan projek berkenaan perlu diberi perhatian kerana jaringan perhubungan dan kemudahan pendidikan asas memainkan peranan penting dalam memastikan penduduk pedalaman menikmati manfaat pembangunan.
"Sebagai wakil rakyat kawasan pedalaman, keutamaan saya adalah untuk memastikan jaringan perhubungan dan prasarana asas rakyat sentiasa ditambah baik.
"Peruntukan RM3.3 bilion bagi projek jalan raya di Sabah dan Sarawak, terutamanya sasaran penyiapan Sarawak-Sabah Link Road 1 serta Pan Borneo Sabah Fasa 1B menjelang penghujung tahun depan, bakal memberikan impak yang sangat besar kepada pergerakan rakyat dan kegiatan ekonomi setempat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam aspek penyelenggaraan jalan raya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook itu berkata, peruntukan RM350 juta khusus kepada kontraktor tempatan G1 hingga G4 di Sabah dan Sarawak bukan sahaja dapat mempercepat kerja pembaikan, malah membuka peluang kepada kontraktor kecil untuk terus terlibat dalam pembangunan infrastruktur.
“Naik taraf jalan di kawasan sempadan Sabah, Sarawak dan Kalimantan juga selaras dengan aspirasi kita untuk membuka peluang ekonomi rentas sempadan yang lebih luas," katanya.
Menyentuh kedudukan Sabah dalam hubungan Persekutuan dan negeri, Arthur yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah menyambut baik peruntukan Persekutuan sebanyak RM18.7 bilion kepada Sabah serta peningkatan Pemberian Khas interim kepada RM1.5 bilion yang dijadualkan dilunaskan sebelum penghujung tahun ini.
"Peruntukan Persekutuan untuk negeri Sabah yang kekal paling tinggi iaitu sebanyak RM18.7 bilion, berserta peningkatan kadar Pemberian Khas interim kepada RM1.5 bilion yang bakal dilunaskan sebelum penghujung tahun ini wajar disokong selain langkah mempercepatkan penyelesaian isu-isu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai tanggungjawab nasional yang utama," katanya.
Beliau turut menyifatkan pelantikan wakil tetap Sabah dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas, bersama peruntukan RM600 juta bagi menjamin tarif, sebagai langkah yang bermakna dalam memperkukuh kedudukan ekonomi negeri itu.
Bagi menangani kos sara hidup penduduk di kawasan terpencil, Arthur berkata, peluasan program pengedaran barangan asas ke lokasi baharu termasuk Kampung Terian di Penampang dan Kampung Sarawak dapat membantu memastikan bekalan keperluan harian diperoleh pada harga berpatutan.
Dalam masa sama katanya, pembinaan Pejabat Imigresen baharu di Keningau serta kuarters di Depot Tahanan Imigresen Papar disambut baik kerana dapat meningkatkan kemudahan pentadbiran dan keselamatan, khususnya bagi penduduk yang bergantung pada perkhidmatan kerajaan di kawasan pedalaman.
Beliau berkata, usaha menstabilkan bekalan elektrik di Sabah turut diberi perhatian menerusi pelaksanaan Sistem STATCOM di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud serta projek Talian Penghantaran Southern Link.
Dalam bidang pendidikan, Arthur menghargai peningkatan peluang tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada 4,200 anak kelahiran Sabah dan Sarawak setiap tahun, selain peruntukan hampir RM1.3 bilion untuk menaik taraf sekolah daif di kedua-dua negeri itu.
"Peruntukan hampir RM1.3 bilion untuk menaik taraf sekolah daif di Sabah dan Sarawak juga amat penting bagi memastikan anak-anak pedalaman mendapat akses pendidikan dalam persekitaran yang selesa dan selamat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
